Sunday, March 29, 2009

Turun Penuh Bergaya Menjulang Perjuangan!

Dengan restu Pak Lah dan Tun Dr.M. Dengan teraju yang telah diamanahkan kepada pewaris, Dato Seri Haji Mohd.Najib bin Tun Haji Abdul Razak, anak didik UMNO yang telah melalui berbagai liku dan penuh ilmu didada hasil keluaran kilang pengkaderan UMNO, barisan kita kini turun ke gelanggang penuh bergaya.

Di Bukit Selambau, Dato Seri Hishammuddin Tun Hussein, diiringi Mahadhir Khalid dan Razalli Ibrahim. Di Bukit Gantang, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Ahmad Zahid Hamidi dan anak muda hebat KJ. Di Batang Ai, Panglima Sabah Shafie Apdal disertai pendekar-pendekar Sarawak Bumi Kenyalang. Demikianlah ketumbukan armada yang kini mengetuai misi perjuangan di medan tempur. Mereka akan menggempur kebathilan demi untuk memujuk rakyat agar tidak diseleweng oleh puak-puak komplot penyeleweng dan pengacau ketamadunan bangsa.

Puak-puak komplot sedang tegar mencuba untuk meneruskan kemaraan mereka. Mereka ingin terus mengaburi rakyat dengan dakyah dan temberang. Sedang diri mereka sendiri dipenuhi berbagai onar dan busuk yang semakin terhidu.

Di Pulau Pinang, TKM 1 telah ditahan SPRM di tambak Johor ketika memandu sendirian untuk ke Singapura. Beliau ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat SPRM Johor untuk diambil keterangan diatas kes rasuah yang di gembar gemburkan oleh budak AMK mereka sendiri. Budak AMK tersebut membuat aduan kepada pimpinan komplot bahawa dia mempunyai bukti akan perlakuan rasuah oleh pemimpin tertinggi parti diperingkat Negeri. Rakan komplot Guan Eng, yang lantang mengaku pemerintahan telus dengan slogan CAT, ternyata temberang dan retorik kosong. Beliau mengilas isu, dan membantu menutup malu dan hanya berdalih semata, sehinggalah Fairuz mengakhiri persoalan dengan meletak jawatan. Guan Eng masih tidak berdaya memberikan jawapan tetapi menyerahkan isu kepada Boss Besar, si anu yang mengaku diri "PM-in-Waiting" dan digelar pula "De-Facto-Leader Komplot". Siapa yang memerintah Penang? Guan Eng ke si anu? Dulu kata Gerakan adalah bodyguard UMNO! Sekarang terang-terang DAP sendiri apa?. Slogan CAT hanyalah penipuan dan iklan untuk menjual ubat.

Di Selangor, kisah Eli juga sedang di kalih untuk tidak mendatangkan malu. Cuti dilanjut dan terus dilanjut. Siasatan polis dijadikan alasan. Kalau ternyata tidak berasalah, mengapa harus dirisau hasil siasatan? Cuba orang UMNO yang jadi hal, belum sempat apa, sudah dijatuhkan hukum dan berarak lah mereka mendesak meletakkan jawatan. Budak suruhan Shamsul AMK pun berarak dan membuat kecoh hingga ke Melaka tak pasal-pasal, asalkan rakyat dapat dicelarukan fikiran. Agar persepsi terus dijual. Agar disahkan sememang begitulah kononnya UMNO. Inilah tingkah laku orang yang cakap berdegar-degar tetapi bontot melekit ditutup rapi. Bau yang busuk di siram minyak atar!

Di Perak, wakil sendiri didakwa dengan rasuah dan mengaku pula melaku zina. Membisu semua, sepatah tak cakap. Bila diseru letak jawatan, dikatakan belum terbukti bersalah. Wakil yang sama kemudian belot dan menyampah kepada komplot, membawa kejatuhan kerajaan boneka. Tangkas mereka melenting dan menyerahkan surat letak jawatan yang tidak bertarikh kepada speaker. Perbuatan gengster, memeras ugut ahli yang belot. Amarah tidak terkawal sehingga berguling dijalanraya, sanggup derhaka kepada Raja. Wakil yang belot menjadi anggota bebas di dewan negeri dan terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional. Dikata pula BN dan UMNO yang punya angkara. Mereka bukan masuk UMNO, cuma mereka tidak sokong Kerajaan Nizar, itu sahaja. Titah Sultan terus disanggah dan dengan angkuh bersidang dibawah pokok. Raja diugut untuk diheret ke Mahkamah. Rakyat diseru bangkit menentang dengan slogan Hidup,Hidup - Hidup Rakyat.



Penderhaka ini sekarang membawa kes ke medan rakyat untuk menegakkan kebathilan. Ayoh kita akan pastikan dia ditolak dan ditolak selama-lamanya. Paling tidak pun, dia patut dihina untuk 999 tahun! Ayoh rakyat yang setia kepada Raja, kita "sumpah hina" sipenderhaka! Ini mahkamah rakyat, rakyat berhak berkata-kata!

Karpal Singh sekali lagi menempelak geng-geng komplot. Guan Eng mengharamkan NST ialah tindakan cakap tak serupa bikin. Kalau lantang bercakap tentang hak dan kebebasan, kenapa marah dan halang NST hanya kerana tidak menyebelahi dia dalam pandangan dan liputan. Karpal berkata Guan Eng hendaklah bersikap demokratik dan sebagai Kerajaan hendaklah sanggup berhadapan kritikan, bukan memerintah dengan zalim dan kuku besi, hingga tak sanggup menerima perbedaan.

Kepada Nik Aziz, Karpal juga menempelak. Orang tua ini kata Karpal terkenal dengan Pusingan - U. Kejap cakap lain, kemudian berputar 360 darjah. Contoh nya dalam kes Bukit Gantang, dulu tak setuju dicalonkan Nizar, sekarang apabila pandangan Ngeh yang dipakai oleh Presiden PAS, dia pula kata setuju malahan dia mengaku pula berkirim salam kerana tidak dapat hadir dimajlis pengumuman calon. Ini lah perangai orang ego tinggi, tak mahu status sebagai Nakhoda di malukan oleh kebenaran hakiki. Dia mengaku diri adalah lebih berkuasa dari Presiden. Itulah demokrasi dalam PAS. Esok, kalau dah jadi kerajaan, dia sebagai Nakhoda, lebih atas dari Perdana Menteri dan Majlis dia, lebih atas dari Parlimen. Karpal juga minta dia beri penjelasan atas tindakannya menyeru dan mengarahkan pemboikotan terhadap Utusan Malaysia.

Itu lah sedikit sebanyak kisah yang semakin menjelma bak bangkai yang busuk ditutup macam mana sekali pun akhirnya menusuk juga kehidung baunya!

Kepada pengulas dan pengkritik luar dan dalam, juga ahli dan pengikut UMNO, saya menyeru kepada semua termasuk diri saya agar marilah bersama-sama masuk barisan. Saf kepimpinan UMNO yang baru dinobatkan hendaklah didokong, dibantu dan disegarkan dengan pandangan-pandangan dan komen yang positif supaya kita membina, memimpin dan menciptakan persepsi yang baik.

Sekarang bukan lagi masa untuk kita tak habis-habis memberikan ulasan dan andaian mahupun komen dan takrifan tentang isu perubahan dan kepimpinan. Sekarang ialah masa untuk bergerak kehadapan. Inilah masa kita memimpin pandangan dan mencipta persepsi, bukan lagi menjadi agen dan penyebar khabar angin dan mengiakan tohmahan.

Marilah kita terima dengan hati terbuka demi parti, bangsa, agama dan negara. Bulatkan tekad, serahkan jiwa dan raga untuk parti dan kepimpinan. Marilah kita menjadi agen perubahan, bukan sentiasa di buai "story-story" yang indah, yang melekakan kita, yang menjadikan kita gunting didalam lipatan!



"Story-story" itu yang kembang dialam siber dan sms, dikedai kopi dan jalanan, semuanya hasil gubahan penjaja "Harapan Baru" yang sebenarnya palsu. Tepiskan sahaja sebagai angan-angan Mat Jenin kata Haji Hadi Awang satu ketika dahulu. Ingat juga pesanan Karpal Singh yang telah memecahkan tembelang yang kita semua memang sebenarnya dah tahu, iaitu " ini semua sianu yang punya angkara, dia lah penyebab semua ini" kata Karpal dengan emosi meluap-luap apabila boneka di Perak tersembam. Tersemban bukan kerana UMNO tetapi "ditogelkan" oleh anggota sendiri yang insaf dan terbuka mata hati.

Hayatilah pesanan Pak Lah yang diukirkan didalam Rukun Perjuangan!

Saya sedih mendengar sorakan "boo" oleh pejuang UMNO sendiri, setiapkali nama KJ di sebut di dalam Dewan Merdeka. Pada saya mereka ini adalah pejuang-pejuang bersemangat tinggi. Ini lah dia kumpulan pertama yang harus Dato Seri Presiden bawa ke kem-kem pengkaderan supaya "energy" dan semangat yang ada didalam jiwa mereka itu kita ulit, didik dan bentuk. Kader-kader ini kalau digembeling dan di semarakkan jiwa mereka yang kental itu dan dihalakan ke sasaran yang sebenarnya, maka kita akan mempunyai ketumbukan sayap yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Bukan jaguh Kampong tetapi Jaguh di Medan Perang!

Saya yakin, KJ dan barisan nya yang didokongi Dato Razalli Ibrahim amat berupaya dan berkebolehan dalam mengemudi sayap penting, pusaka bangsa ini. Contohilah sikap dua negarawan kita yang sudah menunjukkan jalan.

Saya ingin mencadangkan agar Dato Ahmad Shabbery Cheek memberikan nasihat kepada para intelektual dan pakar-pakar politik dikaca TV untuk menukar topik bahasan. Daripada terus-terusan membicarakan isu kepimpinan yang telah diputuskan dengan muktamad oleh perwakilan, marilah kita sebaliknya bersama-sama memerah otak memberikan cadangan dan input didalam usaha kita mengorak langkah kehadapan dan bagaimana cara menangani kemelut semasa, iaitu memacu ekonomi negara dan rakyat.



Perbahasan dan keintelektualan mereka juga kita perlukan dalam mencipta haluan menuju matlamat "Satu Malaysia" disamping terus memahamkan rakyat jelata tentang peri pentingnya "Tiang Seri" tidak digoyah!



Sudah-sudahlah hujah meneliti, menilai dan mengungkit karektor tertentu dan meneka hala tuju. Sebaliknya berikanlah cadangan dan idea bernas supaya barisan pimpinan ini boleh gunakan untuk memacu gerakan.



Kita perlu membantu mereka bekerja, bukan mempertikaikan sebelum pun mereka mencuba! Takut nanti kita semua akan gagal dek sebab terlalu kritis dengan isu remeh dan temeh sedangkan ada isu yang lebih besar dan utama. Jadinya nanti, kita pun sama juga macam yang dikritik dan dipertikai kerana hanya pandai bercakap tetapi tidak tahu nak buat macam mana, kononnya!

1 comment:

Anonymous said...

Salam,

Saya ahli UMNO di termerloh tetapi dah menetap di Shah Alam, soalan saya bagaimana saya hendak menukar cawangan dan bahagian saya??