Wednesday, March 18, 2009

MENARUH HARAPAN...

"Harapan Baru" hampir tidak ada harapan , menanti saat untuk hancur bak "Kaca Terhempas ke Batu". Bagi yang tahu, sememangnya dari awal lagi "Harapan Baru" adalah sebenarnya "Harapan Palsu" yang di olah sedemikian rupa semata-mata untuk "Mencari Harapan".

Kebelakangan ini, semakin hangat dipasaran "andaian-andaian" berbagai bentuk direka cipta seolah-olah ianya benar dan akan menjadi kenyataan. Ini semua, sekali lagi, adalah gelombang terakhir yang ingin di "senakkan ke benak akal", namun jelas ia semakin tidak masuk akal.

Hinggakan perkara yang sudah nyata pun hendak dikelirukan. Ada cakap-cakap Pak Lah tidak akan berundur dan ini ada hubungkait dengan sesuatu pakatan dengan Anwar Ibrahim untuk menafikan Najib ke jawatan PM. Apa punya gobloklah andaian sebegini. Ini semualah yang menyebabkan orang ramai naik "mual" dengan tingkah laku politik kita. Siapa yang punya cerita ini? Tak lain tak bukan ialah dimulakan oleh puak "Harapan Baru" yang masa depan mereka sudah kelam. Bak tenggelamnya matahari, begitulah kelam kabutnya mereka mencipta suasana baru untuk dipaut, tetapi jelas, harapan semakin menjadi angan-angan. Bagi orang UMNO dan rakyat awam, kita tunggu sahajalah Persidangan Agung UMNO dimana Najib sudah menang tanpa bertanding, menunggu untuk dirasmikan sebagai Presiden Parti. Selepas itu, kita serahlah kepada budi bicara Pak Lah untuk menguruskan perletakan jawatannya sebagai PM, sebagai menghurmati sistem demokrasi yang kita pegang selama ini dan amalan biasa kita apabila Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional, parti majoriti, akan diamanahkan jawatan PM. Tentulah ada proses tertentu untuk Pak Lah berundur dan berundur itu memangnya satu daripada package peralihan kuasa yang telah dirundingkan. Tak perlulah puak-puak terdesak yang selama ini menjaja "Harapan Baru" ingin memprovokasi dan mencipta angan-angan.

2. Insiden yang menimpa Dato Seri Ali juga diambil kesempatan oleh sesetangah pihak untuk menangguk dengan berbagai andaiaan. Kononnya Dato Seri Ali akan memberontak dan keluar parti dan kononnya ada konspirasi menjatuhkannya dan adanya ketidak adilan dalam menghukum dan berbagai lagi. Semua ini ada yang mengasyikkan dan ada yang bertujuan mengelirukan dan akhirnya memualkan dan keadaan itu akan memberikan "Harapan Baru" kembali menaruh harapan. Pada hakikatnya ini adalah proses biasa dan kebetulan Dato Seri Ali telah didapati bersalah dalam siasatan Lembaga Disiplin. Perinciannya telah sedikit sebanyak dijelaskan oleh Tengku Ahmad Rithaudeen dan sebagai Lembaga Bebas yang ditubuhkan sendiri oleh UMNO, maka dia telah mejalankan tugasnya. Baik burok "performance" dia, itu adalah perkara lain. Kita kena terima bahawa dia telah dilantik atas dasar Bebas dari MKT dan dipertanggungjawabkan untuk menjalankan tugas yang diamanahkan oleh MKT. Dato Seri Ali sendiri sebagai anggota Pengurusan dan naib Presiden Parti tahu dan sedar proses ini. Biarkanlah dia merayu dan melakukan apa yang patut mengikut adab dan sopannya. Tak orang tak kita, dan saya rasa Dato Seri Ali tiada masaalah menerima kenyataan ini.

Kenapa Dato Seri Ali dikenakan hukuman larangan bertanding, dan kenapa KJ hanya diberi amaran walaupun di siasat dibawah artikel yang sama, juga telah dijelaskan oleh Tengku Ahmad Rithaudeen. Saya faham maksud beliau dan tiada langsung unsur ketidakadilan dalam hal ini. Kita semua patut memberikan kepercayaan kepada pihak yang telah kita amanahkan untuk bertanggungjawab dalam urusan ini. Tiada guna kita mempersoalkan, tetapi sepatutnya kita berhak merayu sekiranya kita tidak berpuas hati. Jadi kemukakanlah hujah bagi dinilaikan oleh yang berwajib.

3. Semakin hampir kepada Persidangan UMNO di dalam UMNO patut lah sibuk, tetapi diluar UMNO pun, terutamanya puak penjaja "Harapan Baru", semakin kelam kabut. MENGAPA? Kerana harapan yang dijaja semakin pudar, makin diharap semakin kabur dan semakin dinanti semakin kelam. Persidangan Agung UMNO kali ini ditakuti akan menjadi tirai penutup, mengakhiri segala lakonan dan tipu-helah. Ianya akan membuka lembaran baru pasca PRU 12. Saat-saat itu semakin hampir dan penjaja harapan baru semakin panik dan gelabah sebelum tirai berlabuh buat babak kali ini.

Selepas itu, pentas akan diisi oleh pemain yang baru. Apakah "Buku Akan Bertemu Ruas", itu lah agaknya yang ditakuti dan menjadi igauan ngeri. Sudah tentunya pemain yang baru, corak dan gayanya berlainan, kalau itulah yang ditakuti oleh hantu, nampaknya hanya "Hantu yang Nampak Hantu"!

Kita hanya perlu bersabar dan jangan terperangkap didalam "teater" yang sedang dipentaskan. Biarlah pelakon-pelakon tersebut memainkan watak mereka, dan kita perlu terus berpegang kepada realiti kehidupan. Yang Benar TETAP BENAR dan Yang Bathil tiada harapan.

4. Kepada Nik Aziz, janganlah berdendam hingga keliang lahad kerana UMNO dan PAS dituntut bersaudara didalam Islam. Apa gunanya kita berjuang demi Agama apabila jalan kita jauh menyimpang. Bukanlah saya menyokong sangat cadangan Kerajaan Perpaduan,(Kerana kita tak tahu isi kandungan dan maksud Hj.Hadi), tetapi saya tidaklah mahu membantah diatas kesedaran bahawa kita dituntut didalam Islam untuk bersatu padu sesama saudara seagama. Sepatutnya walau seinci peluang dibuka untuk kita bermaaf-maafan, maka harus kita ambil peluang dengan tidak mensia-siakannya. Bagi saya cadangan Hj Hadi perlu diberi peluang untuk diperbincangkan kalau pun akhirnya tidak sekata, tetapi kita harus mencuba dan siapa tahu ada apa di hujung sana? Tidak salah kita berbaik sangka dan ketepikan sebarang curiga. Ada yang kata ianya helah untuk Bukit Gantang dan berbagai lagi. Dalam keadaan sekarang penjaja sentiasa mengambil peluang untuk menangguk. Oleh itu, kita wajib berkeyakinan kepada diri dan berpegang kepada jatidiri perjuangan.

Hj.Hadi mungkin juga sudah meneropong, dan sedar telah terdorong mendokong "Harapan Palsu". Dia mahu kembali ke pangkal jalan tetapi setelah mengambil iktibar dari separuh perjalanan, dia mahu permulaan yang lebih baik!

No comments: