Saturday, January 31, 2009

DEMONSTRASI LAGI?

Petang Sabtu (hari ini)di SOGO, akan mereka adakan "soft launch" bagi melancar dan membina sokongan untuk rancangan mengadakan Demonstrasi Besar-Besaran Membantah PPSMI yang dijadualkan pada 7 MAC 2009.Ianya diwar-warkan akan menjadi sebuah Demonstrasi Besar "ala" Bersih.

Semakin galak Jentera PR mendalangi budaya demonstrasi ini kerana percaya ianya paling berhasil sebagai medium popular untuk meraih publisiti dan merangsang sokongan terhadap agenda tersirat mereka. Apa sahaja isu yang timbul, mereka pergunakan sepenuhnya untuk menjadi juara jalanan.

Kali ini isu Bahasa dalam polemik PPSMI yang disambar. Tidak kisahlah samaada ianya patut atau tidak, tetapi yang penting ianya boleh menjadi sebab untuk menyemarakkan budaya bantahan jalanan.

Bermula petang ini nanti, mereka akan membina momentum untuk mencapai klimaks bagi mengadakan acara kemuncak tersebut bertepatan dengan dua perayaan terpenting mereka di Bulan Mac 2009.

Pertama agar Demonstrasi Membantah PPSMI itu berlangsung bertepatan dengan waktu Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) sedang akan mengadakan Persidangan Agung yang diketahu umum akan diadakan pada bulan MAC 2009.Sasarannya? Tidak lain tidak bukan bagi meletakkan Parti Melayu itu didalam kebencian "Pejuang Bahasa" dan memalukannya!

Kedua, ianya akan diadakan tepat menjelang sambutan genap satu tahun PRU 12. Bolehlah kita bayangkan!

Apakah Datuk Sri Syed Hamid Albar b Syed Jaafar Albar akan membiarkan ini berlaku?

Thursday, January 22, 2009

USS MONTANA


Wednesday, January 21, 2009

PEJUANG BAHASA NAK DI PERALAT PULA!

Kononnya sekarang sudah ada satu lagi pertubuhan haram yang dinamakan GERAKAN MANSUHKAN PPSMI (GMP). Pertubuhan ini "ala-ala" gerakan HINDRAF dan BERSIH akan menggunakan cara yang pernah digunakan oleh HINDRAF dan BERSIH, iaitu menganjurkan DEMONSTRASI besar-besaran pada 7 MAC 2009.

Malangnya seorang bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka telah dipergunakan untuk memberikan kredibiliti kepada pertubuhan ini iaitu Datuk Dr.Hassan Ahmad. Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk GMP.Dikhabarkan bahawa keputusan mengadakan DEMONSTRASI atau dipanggil PERHIMPUNAN GMP ini telah diputuskan pada satu mesyuarat Jawatankuasa yang diadakan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Bangunan SUK). Ianya turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin Parti Politik Pakatan Rakyat. Walaupun dimomokkan bahawa ianya tidak berupa gerakan politik dan bahawa Datuk Dr.Hassan juga amat sensitif dengan memberikan syarat bahawa kehadiran individu-individu tertentu itu adalah bukan mewakili parti tetapi sebagai mewakili diri sendiri selaku pejuang bahasa, ianya perlu di ragukan. Bukan kita tidak tahu cara dan tindak tanduk mereka selama ini.

Berbalik kepada isu PPSMI, bukankah pihak Kerajaan telah berulang kali mengatakan bahawa kajian terperinci sedang dilakukan dan pernah juga diadakan beberapa forum dan perbincangan secara ilmiah berkenaan isu ini? Mengapa tidak kita berikan tanggungjawab itu kepada Kerajaan untuk menyusuri isu ini sedang bantahan dan cadangan telah dikemukakan? Mengapa perlu ada gesaan-gesaan secara demonstrasi dan seumpamanya?

Saya menyeru kepada pejuang-pejuang tulen agar mengkaji kembali penglibatan mereka didalam komplot sedemikian dan sebaliknya bertanya kepada diri mereka akan apa perlunya tindakan seumpama itu dalam kita bernegara?

Kalau pun agaknya ada banyak duit untuk di "sponsor" bagi menjayakan gerakan sedemikian alangkah eloknya dana itu diberikan kepada pakar-pakar untuk melakukan kajian dan cadangan kepada pihak bertanggungjawab daripada kita terlalu asyik dengan budaya "mengajak rakyat memberontak" dijalanan?

Jangan kita terpesona dengan budaya demonstrasi ini, kerana kalau itulah cara untuk merubah perkara, ada banyak perkara yang memerlukan kita berdemonstrasi setiap hari.

Namun akhirnya,berdemonstrasi tidak berfaedah dan lebih rugi dari untung! Cuma ada orang yang menangguk di air yang keroh akan mendapat apa yang dihajati dari tangguknya!

Thursday, January 15, 2009

Apa sebenarnya maksud Karpal Singh?

Artikel oleh penpusaka @ www.keriswarisan.blogspot.com / 15 Jan 2009


Akhbar hari ini seronok dengan tajuk;
"DAP undur diri jika PR amal hudud:Karpal" . Menurut berita, Karpal kecewa dengan Anwar Ibrahim yang mengatakan bahawa PKR sokong PAS dan berhasrat melaksanakan hudud sekiranya PR berjaya mendudukki tahkta kerajaan Malaysia!

Karpal Singh, sepertimana Anwar Ibrahim sebanarnya sedang memainkan peranannya untuk mengusik emosi dan sentimen orang melayu. Ini dilakukan sebagai sebahagian strategi untuk PRK Kuala Terengganu.

Dia cakap macam tu supaya orang melayu marah.

Dia cakap macam tu supaya tonjolkan seolah-olah PAS adalah satu-satunya pembela Islam.

Dia cakap macam tu supaya membuktikan bahawa PKR pun setuju dengan PAS yang sedang diganyang oleh UMNO kerana cuba menegakkan Islam.

Dia cakap macam tu supaya orang benci pada UMNO kerana UMNO serang PAS. Jadi UMNO pun sama macam DAP, serang Islam.

Oleh itu semua orang pakat bantu PAS demi jihad untuk menegakkan Islam.

Jadi PAS dapat undi simpati untuk tambah sikit sebanyak agar menang di KT.

Jadi yang kena main ialah orang melayu yang senang di pecah-pecahkan dan diperbodohkan kerana ketaksubannya kepada sentimen tanpa sedar.

Jadi yang kena zalim ialah pejuang tulen seperti UMNO yang bekerja keras untuk mempertahankan kuasa yang diperlukannya untuk meneruskan pejuangan bangsa dan agamanya.

Yang jahat ialah PAS kerana sanggup menggunakan “musuh Islam” demi menjatuhkan dan menggagalkan usaha saudara Islamnya dalam pekerjaannya.

UMNO guna kuasa untuk bangsa dan agama, PAS guna Agama untuk mendapatkan kuasa.

Yang rugi-orang melayu, yang kalah-Islam.

Yang untung musuh bangsa dan musuh agama!

Dengan itu wahai saudara-saudaraku, bulatkan tekad dan kuatkan iman, sokong dan dokonglah UMNO. Jangan terpedaya sandiwara PKR,Anwar Ibrahim, PAS dan DAP yang semuanya guna mengguna satu sama lain.Dia orang ingat akhirnya dia dapat melepasi sesama sendiri. Sekarang berpakat esok bersakat!!!

Dalam senario politik sekarang, orang melayu sudah menampakkan bahawa mereka tidak lah segagah mana didalam penguasaan politiki tanahair. Hasrat DAP untuk "Malaysian Malaysia" telah disekat selama ini kerana kekukuhan politik melayu diketuai UMNO dan keutuhan kuasa melayu tidak dapat digoyang selagi UMNO kuat. Ramai musuh Negara juga sebenarnya melihat bahawa Malaysia kekal aman, sejahtera, damai dan makmur kerana politiknya stabil. Kestabilan ini adalah sebahagian besarnya kerana orang melayu yang merupakan majoriti rakyat, mendokong UMNO sebagai parti unggul. Selagi majoriti orang melayu bersatu dibawah UMNO, selagi itulah kuasa politik UMNO tidak boleh digugat! Selagi kuasa UMNO tidak digugat, selagi itulah tiada upaya politik Malaysia boleh diganggu-gugat!

Seperti dibuktikan pada PRU ke 12 apabila segelintir orang melayu diterajui oleh Anwar Ibrahim sanggup meyakinkan PAS dan DAP untuk bersekongkol kerana hanya itulah jalan yang boleh mengalahkan UMNO, maka wujudlah Pakatan DAP+PAS+PKR.

Jika UMNO berjaya digagalkan barulah segala agenda sama-ada untuk Islam yang dihasrat oleh PAS mengikut acuannya, akan boleh dicapai, mahupun agenda "Malaysian Malaysia" yang diinginkan DAP mampu dilaksana! Pokoknya UMNO perlu di rudum dan untuk itu, PAS perlu bekerjasama dengan DAP walaupun tidak sefahaman. Maka Nik Aziz pun pernah berkata "PAS sanggup bekerja dengan Syaitan asalkan UMNO dapat ditumbangkan! "

Jadi saudara-saudaraku, janganlah seronok dengan "percakaran berkenaan hudud" yang kononnya sedang berlaku diantara PAS dan DAP dan PKR. Sebenarnya ini ada lah taktik terbaru untuk bantu-membantu sesama mereka tanpa peduli walau apapun harganya kerana tujuan bersama ialah UMNO mesti ditumbangkan! Antara kita, kita cerita belakang, macam penyamun, kita samun dulu, belakang kita kongsi!.

Sudah jelas lagi bersuluh, kalau orang melayu ingin kekal menerajui Malaysia, maka tiada pilihan lain, tetapi, PAS perlu berhenti menyalahguna Islam dan berhenti bersekongkol dengan musuh Islam hanya semata-mata untuk keuntungan politik. Itupun sebenarnya hanya khayalan kerana selepas keutuhan melayu berjaya dipecah, dilemah, dan juara melayu, ditumbangkan, adakah PAS fikir dia akan menggantikan tunjang melayu itu dan memimpin Malaysia? Silap besar!!

Melayu tidak lagi akan bersatu, tidak lagi akan kuat, tidak lagi berkuasa untuk menguasai, maka kita akan diperkotak-katikkan dan Islam pun akan gagal!

Maka pada masa itu, PAS akan sedar bahawa selama ini dialah sebenarnya yang menggagalkan Islam diTanah Melayu ini! Sesungguhnya Allah mengeji dan melarang orang Islam bersekongkol dengan musuh Islam untuk memusuhi sesama Islam. Insaf lah wahai saudara-saudaraku!

Thursday, January 8, 2009

Hudud : Siapa Khianati Hukum Allah?

Tulisan Dr.Aisar Yee dijawab;
Hudud: Siapa khianati hukum Allah?
Oleh: Zainal Abidin Ahmad / Sinar Harian 31hb Disember 2008


“BERSIKAP jujurlah.” Demikian kata-kata penutup yang diluahkan Dr Aisar Yee Abdullah dalam artikel beliau ‘Hudud: UMNO pun main politik’ yang disiarkan Ahad lalu.

Kata beliau: “Dalam usaha menolak usaha Pas itu, beberapa golongan yang terkeliru dalam UMNO yang tidak tahu banyak tentang hudud tetapi sering kali mendapat liputan meluas dari media massa yang dikuasai mereka sebelum ini memberi gambaran bahawa hudud itu sebagai kejam dan segala-galanya...”

Kata beliau lagi: “Maka, orang bukan Islam yang terperangkap dengan peperangan di antara penyokong Pas yang ‘overzealous’ dengan pemimpin UMNO yang tidak berilmu, bertindak menentang pelaksanaan hukum itu....”.

Saya tidak mengenali Dr Aisar. Jadi saya tidak dapat mentafsirkan dengan tepat apa motif beliau dan tentu sekali tidak dapat menilai 'kejujurannya' dan 'keilmuannya' dalam memperkatakan tajuk tersebut.

Namun, sesiapa sahaja yang membaca artikel yang berkenaan akan membuat rumusan bahawa beliau menghuraikan 'isu' yang berbangkit secara 'tidak jujur' dan 'tidak mendalami' duduk perkara. Dia melompat ke dalam arus dengan sikap berat sebelah dan cuba mempengaruhi agar simpati kepada Pas tetapi dalam 'hamburan kata-kata tuduh terhadap UMNO' beliau menjustifikasikan kebenaran beliau dengan menyeru orang lain supaya 'bersikap jujur'.

Saya menyokong pendapat Dr Aisar bahawa Husam diperangkap. Tetapi soalannya, adakah KJ merancang perangkap tersebut? Di sini, Dr Aisar Yee seharusnya bersikap jujur terlebih dahulu, sebelum menyeru orang lain berlaku jujur. Bukankah majlis ‘Wacana Perdana: Transformasi Politik Malaysia’ di Kota Bharu itu adalah anjuran Kerajaan Pas Kelantan? Bukankah jemputan ke atas KJ itu sebenarnya adalah perangkap untuk mengenakan beliau? Bayangkan sekiranya Husam dapat menyinar dalam menghadapi 'orang muda UMNO' pada malam itu?

Dr Aisar dengan yakin mengatakan bahawa Tun Dr Mahathir pada masa itu menolak hudud dan bukannya kerajaan Pas tidak mahu melaksana hudud, ianya gagal dilaksana kerana ditolak Kerajaan Persekutuan.

Kata Dr Aisar “pada 1994, PM menulis surat rasmi kepada MB Kelantan dengan menyebut bahawa: Jika Pas cuba juga untuk melaksanakan undang-undang hudud yang diciptanya, Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kerajaan Pas".

Isu hudud ini, adalah bukan cerita baru, ini bukan angkara Khairy Jamaludin atau pun isu baru yang memerangkap Husam Musa. Hudud adalah ‘produk Islam’ yang menjadi bahan yang dijaja oleh Pas untuk meraih sokongan bagi membuktikan dia memperjuangkan Islam.

Lebih hina lagi, dalam pada Pas sejak beberapa siri pilihan raya cuba mendapatkan sokongan melalui seruan hudud, telah tanpa segan silu cuba melarikan kesetiaan ummah terhadap UMNO dengan menuduh bahawa UMNO menolak Islam, UMNO menolak Hudud! Isu ini menjadi polemik dan bahan ceramah yang paling laris. Tambahan lagi dengan gagalnya Kerajaan Kelantan melaksanakan hudud melalui Kanun Jenayah Syariah (11) Kelantan yang diwartakan pada 28 Oktober 1993.

Menjadi-jadilah pihak Pas menjaja ke seluruh pelosok bahawa Kerajaan Pusat UMNO menolak hudud. Apa lagi, maka surat PM seperti disebut Dr Aisar itu, dijaja dan digunakan sebagai bahan bukti yang mereka bercakap benar.

Jadi untuk berlaku adil, Dr Aisar sepatutnya meneliti dahulu apa itu Hudud, apa itu Kanun Jenayah Syariah (11) Kelantan yang didakwa sebagai hudud oleh Pas dan apa sebenarnya isi kandungan dan sebab surat yang diberikan oleh PM itu, sebelum terus mengikut rentak dan bual bicara tanpa usul periksa.

Kita jangan lupa Presiden Pas Tuan Guru Haji Hadi pada waktu gemilangnya di mercu kuasa kerajaan Terengganu, pernah berkata lebih kurang begini; “ Hudud adalah satu aspek daripada 0.0001 peratus dari hukum jenayah Islam”.

Beliau berkata demikian apabila diwawancara oleh wartawan bertanyakan kenapa hudud masih tidak dilaksanakan oleh kerajaan Terengganu. Tambahnya 'hudud memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan dan merupakan bahagian yang sangat kecil dalam perundangan Islam'. Itu kata Hj Hadi semasa dianya MB Terengganu.

Kini apabila Husam dengan lantang menjawab KJ Pas tetap laksana hudud apabila memerintah, sekali lagi Hadi diingatkan kepada Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu yang didakwanya hudud dan telah ditolak Kerajaan Pusat.

Apa katanya, terbaru: “Pas tak perlu beri penerangan kepada rakan DAP dan PKR, kerana hudud hanya akan dilaksanakan ke atas orang atau rakyat Islam sahaja, orang kafir boleh pilih undang-undang sivil sedia ada!”

Untuk mengisahkan perbalahan di antara UMNO dan Pas berkenaan hudud ini, memerlukan kajian terperinci tentang hudud itu sendiri mengikut apa yang difaham Pas dan bantahan dari kaca mata UMNO terhadap hudud yang dilaung-laungkan oleh Pas.

Sebagai orang awam sama ada kita mendukung parti politik apa sekalipun, kita jangan terikut-ikut tak tentu hala dan jauh kan diri daripada termakan hasut dan fitnah. Bukan sekali hudud itu hak mutlak Pas untuk dipertanggungjawabkan, UMNO juga tahu akan tanggungjawabnya.

Cuma bezanya ialah Pas yang membangkitkan tentang betapa UMNO perlu dikhianati, kerana ianya tidak menegakkan hudud. Pas sebenarnya yang menggunakan isu hudud mengikut masa dan ketika untuk kepentingan permusuhannya dengan UMNO.

Jika Dr Aisar inginkan sedikit maklumat untuk dibuat penilaian awal secara ilmiah, seperti juga beliau yang telah mendapatkan 'sebahagian besar maklumat' penulisan beliau tersebut melalui buku 'Hudud, Hukum dan Pelaksanaan' oleh Prof Madya Datin Dr Paizah Hj Ismail, saya sarankan beliau membaca 'Hudud-Siapa Khianati Hukum Allah' oleh Hasnul Rahman yang ditulis berdasarkan ulasan dan ceramah Hj Mohd Kamal Saidin, seorang penceramah UMNO yang telah mengulas 'Kanun Jenayah Syariah (11) Kelantan' yang diwartakan dalam Warta Kerajaan Kelantan pada 28 Oktober 1993”.

Saya ingin memetik sedikit ulasan Ustaz Kamal di dalam buku tersebut. Ulasan ini amat relevan kepada apa yang dikatakan dalam kenyataan akhbar Hadi yang terbaru tentang isu Hudud. Pendirian dan kenyataan Hadi ini sebenarnya termaktub sudah dalam Kanun Jenayah Syariah (11) Kelantan, pada Fasal 56 (2) Enakmen tersebut.

Fasal ini mengatakan bahawa 'hukum hudud hanya dikenakan kepada orang Islam sahaja, sementara orang bukan Islam boleh memilih sama ada mahu dihukum dengan hukum hudud atau hukum lain (sivil)'.

Mengulas mengenai fasal ini Ustaz Kamal berkata; “Mengikut kitab-kitab hudud, jenayah hudud hendaklah dikenakan ke atas orang Islam dan orang bukan Islam. Tetapi dalam hudud ciptaan Pas (yang ditolak oleh Kerajaan Pusat Dr M ketika itu) ada pengecualian.

“Kalau Hudud Pas itu cuma mengenakan hukuman terhadap orang Islam sahaja, sedangkan orang-orang bukan Islam dibolehkan memilih hukum lain iaitu undang-undang sivil, terbukti hudud ciptaan Pas itu zalim dan tidak adil”.

Di antara fakta-fakta yang dihujahkan oleh Ustaz Kamal ialah:

Pertama: Berdasarkan Hadis Rasulullah yang bermaksud: “Barang siapa (bukan Islam) iri hati kepada orang-orang Islam dengan melakukan pembunuhan, maka orang yang membunuh itu adalah dera dengan sebab membunuh, kerana hudud itu adalah wajib di atas orang-orang yang melakukan jenayah.”

Kedua; Berdasarkan Hadis Rasulullah yang bermaksud: “Bahawa Rasulullah SAW telah pun menghukum rejam dua orang Yahudi. Kedua-dua itu sebelum berzina telah merasai persetubuhan melalui perkahwinan dalam agamanya.”

Ketiga; Mengikut ijmak ulama-ulama Fiqh yang masyhur, “telah sepakat pendapat bahawa pengakuan taat setia daripada kafir zimmi kepada pemerintah adalah syarat boleh dihukum hudud ke atas mereka itu dan begitu juga dengan kafir harbi yang tidak taat.”

Keempat; Menurut kaedah Imam Syafiee: “Apabila orang kafir telah membunuh orang beriman, hendaklah dibunuh orang kafir itu dengan sebab ia membunuh. Sama ada kafir zimmi, kafir harbi atau kafir yang diberi perlindungan pemerintah, kerana jika Allah SWT telah mengharuskan darah orang-orang Islam dengan sebab membunuh manusia beriman, nescaya darah orang-orang kafir lebih utama diharuskan dengan hukum bunuh.”

Kelima; Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Maaidah, ayat 45 yang bermaksud; “Dan kami wajibkan atas mereka (Yahudi di dalam Taurat) bahawa jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka-luka juga dibalas seimbang. Tetapi barang siapa mendermakan (hak membalasnya) maka dermanya itu jadi penebus dosa baginya....”

Jadi berkenaan kenyataan Hadi yang juga sebenarnya merupakan di antara inti pati Enakmen Jenayah Syariah yang dikatakan hudud oleh Pas itu, para ulama usul Fiqh bersependapat kata-kata yang masyhur di sisi jamhur, hukum jenayah (hudud) Nabi-Nabi yang dahulu diwajibkan ke atas orang-orang Yahudi (bukan Islam), maka hukum jenayah (hudud) Nabi Muhammad SAW adalah juga diwajibkan ke atas orang-orang Yahudi (bukan Islam). Berdasarkan fakta tersebut nyatalah bahawa hukum hudud hendaklah dilaksanakan juga kepada orang-orang bukan Islam.

Kata Ustaz Kamal: “Adalah mengingkari Sunah Rasulullah jika pelaksanaan hukum hudud Pas itu cuma dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja, sementara orang bukan Islam dibolehkan memilih hukum sivil.”

Kesimpulannya, dalam pada Pas meluluskan Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu, yang didakwa hudud tetapi mempunyai banyak percanggahan menurut Islam, tidak penting, yang penting penolakan Kanun Hudud itu oleh Kerajaan Pusat di bawah Dr M dijadikan senjata oleh Pas untuk memburuk-burukkan UMNO. Sedangkan dia sendiri tahu bahawa melaksanakan hudud tidak semudah yang dia gambarkan kepada awam.