Monday, June 30, 2008

Realiti Ketuanan Melayu

Realiti ketuanan Melayu
Oleh MUZAFFAR MOKHTAR
Utusan Malaysia / Isnin 30 Jun 2008 / 26 Jamadilakhir 1429

KEBELAKANGAN ini suara- suara sumbang yang mempertikaikan ketuanan Melayu dengan mendakwa bahawa konsep berkenaan bersifat perkauman dan tidak relevan dengan realiti Malaysia yang berbilang kaum semakin lantang kedengaran. Terdapat pula sesetengah pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan melaga- lagakan konsep ketuanan Melayu dengan ketuanan rakyat.

Sebenarnya dalam konteks politik Malaysia faktor sejarah serta realiti demografik menyebabkan konsep ketuanan Melayu dan ketuanan rakyat muncul sebagai konsep yang bukan sahaja saling tidak bertentangan malahan ia merupakan sisi yang berbeza bagi satu syiling yang sama, saling lengkap melengkapi.

Bagi Malaysia konsep ketuanan rakyat dalam bidang politik telah mula tertegak semenjak negara mencapai kemerdekaan daripada penjajahan Inggeris lebih 50 tahun yang lalu. Konsep ketuanan rakyat adalah teras asas bagi mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi pelbagai parti yang berwibawa. Ini kerana dalam sebuah demokrasi rakyatlah yang mempunyai kuasa mutlak melalui undi mereka untuk menentukan parti politik atau gabungan parti politik yang akan membentuk kerajaan. Melalui konsep ketuanan rakyat aspirasi golongan majoriti dihormati manakala kepentingan sah kaum minoriti dilindungi berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang.

Kewujudan ketuanan rakyat tanpa kewujudan ketuanan Melayu di Malaysia bermakna penindasan golongan minoriti terhadap kaum majoriti. Jika ini berlaku maka ia tiada beza dengan apa yang pernah berlaku sebelum tahun 1994 di negara Afrika Selatan iaitu yang dinamakan sistem aparteid.

Dalam membicarakan konsep ketuanan Melayu perkara pertama yang harus diinsafi oleh semua pihak adalah konsep ini tidak sekali-kali membawa konotasi perhubungan submisif yang wujud antara tuan dan hamba sebagaimana yang lazimnya difahami.

Konsep ketuanan Melayu wujud semata-mata hasil manifestasi faktor demografik negara dan kontrak sosial antara kaum yang diijmakkan semasa negara mencapai kemerdekaan.
Ia sebenarnya telah dibayar dengan harga yang cukup mahal oleh orang Melayu apabila mereka terpaksa menerima hakikat bahawa Tanah Melayu akan selama-lamanya berubah dari negara yang bersifat eka kaum kepada pelbagai kaum. Orang Melayu tidak mempunyai pilihan di dalam soal ini. Sudahlah apabila golongan imigran di bawa masuk ke bumi Tanah Melayu orang Melayu tidak dirundingi, untuk memperoleh kemerdekaan mereka terpaksa pula menerima kerakyatan yang diberikan kepada kaum imigran.

Persepsi bahawa wujud pertembungan di antara ketuanan rakyat dan ketuanan Melayu timbul kerana ketidakprihatinan malahan ketidakpedulian sesetengah pihak terhadap dokumen paling asas negara iaitu Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.
Sebenarnya kajian yang teliti terhadap dokumen ini akan membawa kita kepada satu kesimpulan yang jelas iaitu konsep ketuanan rakyat (antara lainnya dilambangkan melalui peruntukkan-peruntukkan Perkara 40 (1) & (1A), Perkara 43 (2),(3),(4) & (5), Perkara 46 (1) dan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan).

Ketuanan Melayu adalah konsep- konsep yang sememangnya sudah dimaktubkan oleh undang-undang tertinggi negara.

Semenjak merdeka orang Melayu adalah penduduk majoriti negara ini, hari ini orang Melayu membentuk 65 peratus penduduk Malaysia. Disebabkan faktor ini jawatan Perdana Menteri dan majoriti anggota Kabinet serta ahli-ahli Parlimen semenjak merdeka dipegang oleh orang Melayu.

Selain daripada fakta bahawa orang Melayu adalah penduduk majoriti negara ini asas utama yang mengukuhkan lagi konsep ketuanan Melayu di dalam sistem pemerintahan negara adalah Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan yang mewujudkan institusi Yang di- Pertuan Agong selaku Ketua Negara bagi Malaysia.

Mengikut Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Cabang Eksekutif (Perkara 39) di mana selaku Ketua Negara pemerintahan Malaysia dijalankan di atas nama baginda.
Baginda juga adalah salah satu elemen yang membentuk cabang legislatif selain Dewan Negara serta Dewan Rakyat.

Baginda melantik Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja, melantik Perdana Menteri, Kabinet dan anggota pentadbiran persekutuan yang lain, melantik hakim-hakim persekutuan, dan merupakan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Konsep ketuanan Melayu termeterai melalui pemegang jawatan ini kerana Yang di-Pertuan Agong dipilih setiap lima tahun sekali oleh Majlis Raja-Raja dari kalangan sembilan orang Raja-Raja Melayu yang sedang bertakhta. Hanya Raja-Raja Melayu yang berhak dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Asas ini diperkukuhkan lagi melalui peruntukan Perkara 3(1), 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3(1) memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi negara, agama yang menjadi asas kemelayuan itu sendiri. Mengikut Perkara 160 tiga kriteria utama untuk seseorang itu diktiraf Melayu adalah individu tersebut mestilah seorang penganut agama Islam, bertutur bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu.

Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi negara tidak pula menjadikan penganutan agama tertentu sebagai syarat pengiktirafan etnik tertentu bagi seseorang individu mahupun memberikan taraf agama rasmi kepada agama anutan individu terbabit.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan pula menjadikan Bahasa Melayu (bukan Bahasa Malaysia) sebagai bahasa kebangsaan tunggal negara, peruntukkan ini diperkukuhkan lagi oleh Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Tanggapan banyak pihak bahawa hanya Peruntukan Perkara 153 yang memaktubkan hak-hak istimewa orang Melayu satu-satunya bukti ketuanan Melayu dalam konteks politik adalah tersasar jauh dari realiti yang ada.

Pihak-pihak yang menolak konsep ketuanan Melayu sebenarnya menolak Perlembagaan negara yang sedia ada dan rata-ratanya bersifat perkauman.

Ini kerana penolakan ketuanan Melayu bermakna mereka sebenarnya menolak legitimasi sistem Raja Berperlembagaan yang sedang kita amalkan hari ini.

Mereka menolak kedudukan Islam sebagai agama rasmi tunggal negara, mereka menolak kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara serta mereka menolak hak-hak keistimewaan orang- orang Melayu sebagai pribumi asal Tanah Melayu.

Monday, June 23, 2008

konspiRAsi GUgat ketuanan MELAYU

Terkini tindakan mencemar ketuanan melayu di Tanak Air tempat bertapak nya rumpun bangsa Melayu sejak zaman berzaman terus-terusan dilakukan tanpa segan silu, tanpa sebarang rasa hurmat, tanpa sebarang keraguan bahawa tindakan mereka akan disokong oleh pengkhianat bangsa yang rela menjual maruah selagi nafsu serakah mereka untuk duduk di koridor kuasa tercapai. Kehendak untuk berkuasa ini hanya akan dapat dicapai dengan kesepakatan dan sokongan mereka-mereka yang sememangnya ingin menjatuhkan ketuanan melayu di buminya sendiri.

Pengkhianat bangsa ini adalah golongan yang tidak dapat tempat didalam gelanggang perjuangan melayu. Satu-satunya peluang untuk mencapai kepuncak kuasa didalam sebuah Negara yang berpaksikan ketuanan melayu ialah dengan melemahkan perjuangan ketuanan melayu itu sendiri. Ini hanya boleh dilaksanakan dengan mengelirukan orang tentang asas perjuangan melayu itu, menjauhkan orang dari perjuangan melayu dan akhir sekali bersepakat dengan pihak yang mendendami dan memusuhi perjuangan melayu.

Dalam pada orang melayu asyik dengan isu-isu yang berkisar kepada menjatuhkan sesama melayu, pejuang melayu melalak mencari salah dan kelemahan sesama mereka. Bermusuhan sesama sendiri dan menjatuhkan sesama sendiri. Satu kelompok berpatah arang dengan kelompok yang satu lagi. Seruan "BERSATU" di sogokkan untuk menyeru bukan untuk bersatu menjadi satu, tetapi bersatu untuk lanyak yang satu lagi. Di satu pihak pula mendakwa pejuang tulen yang hanya kelompok mereka lah satu-satunya dijalan yang benar sehingga yang lain sewenang-wenangnya di "KAFIR" kan. Tiada langsung sifat perjuangan Rasullullah yang dibawanya kecuali sifat benci-membenci dan seruan derhaka yang dibawanya didalam mengembangkan pengaruh.

Akhirnya berpecah belah lah melayu secara hakiki dan akan adalah yang untung didalam kerugian yang satu lagi. Sesungguhnya yang merasakan untung itu juga sebenarnya berada didalam kerugian.Apa tidaknya, didalam kerancakkan orang melayu melemah dan menidakkan sesama sendiri, kita lihat dihadapan mata kita sendiri seorang lagi pemimpin parti chauvinis DAP menghina Institusi Raja Melayu.

Terbaru di Dewan Undangan Negeri Johor, seorang ahli DUN DAP daripada Bentayan, Gwee Tong Hiang telah mengingkari dengan SENGAJA etika berpakaian semasa majlis pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri yang disempurnakan Paduka Sultan Johor. Mengapa beliau melakukan demikian? Hanya kononya kerana berpendirian tegas TIDAK MAHU bersongkok!! Tidak perlulah kita mengulas panjang akan mengapa dan apa ada pada SONGKOK, tetapi cukuplah jika dikatakan bahawa ianya sebenarnya berkaitan dengan adat resam dan budaya Melayu, adat istiadat Raja Melayu yang bersangkut paut dengan ketuanan melayu!

Kita ingin bertanya kepada YB Gwee, sekiranya beliau telah mengambil peruntukan elaun pakaian rasmi, tetapi tidak menempah pakaian yang tersebut, maka hendaklah beliau pulangkan kembali wang tersebut kerana ianya adalah peruntukan wang rakyat. Sekiranya pula beliau telah mengambil wang rakyat dan menempah pakaian tersebut tetapi tidak mahu memakainya dengan sengaja maka kita perlu mendakwa beliau diatas pembaziran wang rakyat. Jika pula beliau tidak mengambil wang tersebut, kita juga perlu mendakwa beliau diatas keengkaran beliau mematuhi etika berpakaian Dewan Undangan Negeri dan bersikap derhaka kepada Paduka Sultan kerana dengan sengaja enggan mematuhi adat istiadat kerajaan Paduka Sultan. Lebih utama daripada itu, ialah Orang melayu hendaklah mendakwa beliau diatas penghinaan kepada adat resam dan budaya Melayu yang merupakan teras kepada Perlembagaan Negara.

Kepada orang melayu yang bersekongkol dengan penghina melayu ini, sedarlah dan bangkitlah menegakkan maruah anda sepertimana anda berkokok menghina manusia kerdil seperti Ella dan Mas Idayu, seperti anda menyalah gunakan Agama untuk mengkafirkan orang Islam lain. Tunjukkan lah kejagohan anda dan tegakkan lah maruah jiwa bangsa anda yang dipijak dan dihina secara terang-terangan. Juga kepada pejuang ketelusan dan keadilan tanpa menimbangkan kepentingan bangsa, tuntutlah keadilan daripada YB Gwee "without fear and favour"

Kepada orang melayu yang bangga sehingga alpa dengan penghinaan yang dilakukan kepada bangsa anda sendiri ambil lah titah pesanan Paduka Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah; "Anak bangsa yang telah berjaya, janganlah berperangai seperti Si Tenggang, terlalu cepat bersifat angkuh, terlalu mudah berlagak bongkak, hingga melupakan asal keturunan, hingga memisahkan diri dari akar bangsanya, menjadi rakus, menjadi gopoh, hingga tergamak menebang pohon tempat bernaung dan mencantas dahan tempat bergantung"

Tuesday, June 17, 2008

Kezaliman melampau Pemuda PAS

Pemuda PAS Negeri Selangor bingkas dengan gopah gapah menghantar Memorandum kepada MB Pakatan Rakyat Selangor diatas rancangan penganjuran Konsert yang akan menjemput Ella dan Mas Idayu. Pemuda PAS Selangor minta artis jemputan di tukar kepada artis lain seperti Mawi atau Akyil Hai.

Yang peliknya, persembahan Ella dan Mas Idayu belum pun berlangsung untuk dikatakan mereka akan menyalahi Islam. Mungkin Ella akan datang bertudung lingkup dan Mas Idayu sopan dengan persembahannya sesuai dengan syarat-syarat yang boleh dikenakan oleh pihak penganjur mengikut kehendak dan perintah Kerajaan. Ia sebenarnya terpulang kepada pihak yang menjemput dan Kerajaan yang memberikan permit untuk meletakkan syarat mengikut dasar dan kehendak yang bertepatan. Itu lah tugas dan tanggungjawab kerajaan yang berhemah, adil dan saksama. Itu lah gunanya kuasa yang ada untuk digunakan sebaik mungkin. Kalau kuasa sudah ditangan tetapi tidak pandai menggunakan, kita ada ungkapan yang cocok "macam Berok dapat bunga". Bagaimana kita menghukum Ella dan Mas Idayu sebelum pun kita menasihati dan mengenakan syarat yang sewajarnya. Bagaimana mungkin kita mendidik rakyat dan melaksanakan Islam jika kita tidak terlebih dahulu menjalankan kerja sebagai pendakwah yang bijak apa lagi sebagai pemerintah yang bertakwa dan berhemah?. Apa jaminannya Mawi atau sesiapa yang lain akan membawa mesej dan penampilan yang dikehendakki, sedangkan perkara belum berlaku lagi? Apa tidak mustahilkah Ella dan Mas Idayu akan menepati segala syarat dan tema yang diinginkan? Menghukum orang dan menafikan orang akan haknya itu bukan kah namanya fitnah dan zalim?

Dimana Memorandum Pemuda PAS ketika Ladang Babi akan dibuka dikawasan penempatan umat Islam? Dimana Pemuda PAS ketika Exco DAP merancang dan mencemoh kedaulatan Melayu dan Islam? Dimana Pemuda PAS apabila Exco DAP ingin menaiktarafkan kedudukan To'Kong.Kuil dan Gereja setaraf Agama Rasmi, Islam didalam Perlembagaan Negara?

Ladang babi, ketika diperingkat kajian Kerajaan BN dahulu, semasa PRU 12 PAS mengedarkan risalah kempen mengatakan "HARAM tetap HARAM" namun selepas secara tidak sengaja terduduk dikoridor kuasa, lagunya sudah menjadi lain sehinggakan ada EXCO PAS yang dengan lantangnya menjadi juara, malah dengan mudah menfatwakan bahawa bergolek-golek dengan babi boleh asalkan selepas itu disamak. Wahai Pemuda PAS eloklah anda semua menternak babi dan mungkin diadakan pertandingan anak babi tercomel pada perayaan menyambut ulangtahun kemerdekaan Negara nanti! Usah lah membuang masa menghantar memorandum untuk isu-isu hanya untuk menarik perhatian umpama permainan silap mata dengan mempergunakan agama demi kelangsungan politik. Masa yang ada ketika berada dikoridor kuasa tetapi tidak berkuasa ini elok juga pergi hadiri kursus-kursus membaiki diri jadi umat yang berguna.

Monday, June 16, 2008

Subsidi sILAP mATA





Rakyat Selangor rata-rata gembira diatas pengumuman subsidi 20m3 air yang diumumkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. Secara individu berapa sen sangatlah keuntungan diperoleh oleh poket se-seorang pembayar bil air. Namun secara pukalnya KDEB akan membayar ganti bagi pihak rakyat Selangor kepada Syabas.

KDEB adalah syarikat Kerajaan Negeri Selangor sementara Syabas adalah syarikat penswastaan yang KDEB ada kepentingan. Jumlah yang perlu di bayar oleh KDEB kepada Syabas adalah lebih kurang RM11 juta setiap bulan. Ini bermakna secara tidak langsung wang Kerajaan juga lah yang akan membayar bil air setiap pembayar bil yang secara individu tidaklah banyak sangat tetapi secara terkumpul wang sebanyak RM11 juta akan ditanggung melalui KDEB. Syabas tidak akan rugi apa-apa kerana tetap menerima pembayaran yang bezanya hanya bukan lagi dibayar secara individu tetapi dibayar secara pukal oleh KDEB.

Pendek kata air percuma itu TIDAK sebenarnya percuma tetapi diberikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat diatas tanggungan KDEB. Disini kita patut tahu juga kesannya kepada kantung KDEB dan jangan nanti Kerajaan Negeri Selangor terpaksa menanggung kerugian Syarikat milik Kerajaan itu pula dan duit rakyat juga nanti yang akan digunakan untuk mengelakkan kerugian dan kehancuran pelaburan Kerajaan.

Umpama gali lubang tutup lubang! Masa akan menentukan. Mungkin tidak dalam masa yang terdekat atau mungkin pada masa itu Kerajaan baru yang akan mengganti Pakatan Rakyat juga lah yang akan menanggung lubang baru itu!

Teruskan lah permainan silap mata ini sehingga semuanya hilang! Menang sorak kampong tergadai. Jadi kepada semua yang riang ria mengucapkan terima kaseh kepada Kerajaan Pakatan Rakyat, jangan terlalu cepat berterima kaseh sedangkan selama ini kita mungkin tidak pernah kenal ucapan terima kaseh diatas banyak rahmat yang telah kita perolehi.




Anwar TIDAK boleh BERTANDING!



Anwar Ibrahim belum boleh bertanding mana-mana pilihanraya kecil di Malaysia walaupun telah menjadi pengetahuan umum bahawa Anwar dan PKR telah mewarwarkan ketika PRU ke 12 bahawa Ketua Umum nya akan diberikan tempat untuk bertanding melalui pilihanraya kecil sebaik sahaja beliau layak bertanding selepas "Black 14".Mengapakah sehingga ke hari ini masih tiada wakil parlimen PKR melepaskan kerusi untuk memberi laluan? Untuk menjawab persoalan ini, sebenarnya ada beberapa perkara yang sedang diperkirakan namun yang paling penting ialah Anwar Ibrahim perlu mendapatkan restu terlebih dahulu daripada Condoleezza Rice.

Anwar Ibrahim adalah Chairman Yayasan Masa Hadapan atau 'Foundation For The Future' yang merupakan jentera United States Of America didalam menjalankan usaha secara tidak langsung bagi menguasai politik Negara-Negara dunia. Jawatan Chairman atau Pengerusi Lembaga Pengarah ini adalah lantikan secara terus oleh Condoleezza Rice selaku Setiausaha Negara Amerika, walaupun ianya terang-terangan bertentangan dengan Piagam Yayasan tersebut yang mengatakan bahawa jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah hendaklah daripada kalangan "Distinguished Person" dari Negara-Negara dimana Yayasan tersebut beroperasi.

Yayasan Masa Hadapan di umumkan penubuhannya pertama kali oleh Condoleezza Rice ketika berucap di Forum Masa Hadapan di Manama, Bahrain pada November 12, 2005. Selepas itu pada Februari 2, 2006 melalui "Media Note" yang di keluarkan oleh 'Office of the Spokesman, Washington D.C." Pejabat Setiausaha Negara Amerika mengumumkan perlantikan Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi dan bersama-sama dengan Rahma Borqia dari Morocco dan Bakhtiar Amin dari Iraq, mereka bertiga selaku Jawatankuasa pemilihan Ahli Lembaga Pengarah akan mencadangkan nama-nama ahli Lembaga Pengarah yang lain untuk kelulusan Condoleezza Rice, Setiausaha Negara Amerika. (Sila rujuk website http://www.bmena.state.gov/ iaitu website awal Foundation For The Future kendalian "The Office of Electronic Information,Bureau of Public Affairs, sebagai portal untuk U.S.State Department).

Perlantikan Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah dimaklumkan kepada beliau secara peribadi oleh Condoleezza Rice melalui satu pertemuan khas di Pejabat Setiausaha Negara Amerika di Washington D.C. dimana pejabat sementara Foundation di letakkan. Kini Yayasan berioperasi di pejabat tetap nya di Amman,Jordan dan pejabat Washington D.C. di jadikan pejabat cawangan. Adalah menjadi tanda tanya mengapa Anwar Ibrahim di pilih oleh Jabatan Setiausaha Negara Amerika untuk mengetuai Yayasan yang di tubuhkan khas untuk beroperasi di Negara-Negara "Broader Middle East and North Africa" walaupun didalam Piagam Yayasan jelas mengatakan bahawa " The Foundation will be led by a Board of Directors comprised of distinguished private individuals from the Region, Europe and North America. The Chairperson of the Board would be from the Region. No government representatives will sit on the Board". (rujuk website http://www.bmena.state.gov/ Foundation Charter Principles December 14,2005.

Negara-Negara "Broader Middle East and North Africa" (BMENA) iaitu wilayah dimana Yayasan ini akan beroperasi adalah : Afghanistan, Algeria, Bahrain, Egypt, Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Lebanon, Libya, Morocco, Oman, Pakistan, The Palestinian Territories, Qatar, Saudi Arabia, Syria, Tunisia, UAE dan Yemen.

Matlamat penubuhan Yayasan adalah untuk mempromosi, membantu dan menggalakkan Kebebasan dan Demokrasi di Negara-Negara tersebut. (Sila rujuk website http://www.foundationforfuture/) di mana dinyatakan tujuan Yayasan di tubuhkan ialah : "in response to calls by regionally-based civil society organizations for mechanisms to provide resources to support the expansion of their activities in order to support reforms efforts.

Bagi menggerakkan tujuan dan matlamat dan menjayakan modus operandi nya peruntukan kewangan bagi Yayasan ini di kutip daripada Negara-Negara Penyumbang terdiri daripada : Denmark, European Commission, Greece, Hungary, Jordan, Spain, Switzerland, Turkey, United Kingdom dan United States. Beberapa negara lain yang telah menjanjikan sumbangan telah menarik diri iaitu: Bahrain, Italy, Morocco, Qatar, Yemen dan Netherlands. Adalah di umumkan bahawa sejumlah USD 50 Million telah dijanjikan oleh negara-negara penyumbang tersebut.

Menyedari kesilapan, Piagam Yayasan yang terbaru telah mengeluarkan ayat "The Chairperson of the Board would be from the Region" dan juga syarat yang meletakkan bahawa ahli Lembaga Pengarah mestilah dari kalangan mereka yang tiada memegang jawatan politik. Tidak mustahil selepas ini syarat bahawa "No government representatives will sit on the Board" akan juga di padamkan daripada Piagam Yayasan tersebut sekiranya Anwar Ibrahim terjadi Perdana Menteri Malaysia.

Begitu lah cara Amerika yang akan menggunakan segala macam cara untuk menguasai dunia dan tidak akan segan silu melakukan segala macam tindak tanduk yang bertentangan untuk kepentingan mereka dan konco-konconya.

Amerika mempunyai operatif didalam agensi CIA nya dan adalah diketahui ianya beroperasi diserata dunia. Selain itu adalah juga menjadi pengetahuan umum bahawa Amerika sentiasa bekerjasama rapat dengan rakan-rakan dan sahabat diluar CIA untuk menjalankan misi-misi nya diseluruh dunia. Pernah kita mendengar bagaimana Saddam Hussin, Osama Laden dan kini Pervez Musharaf pernah digunakan oleh Amerika? Apakah nasib mereka kini? Sejarah sentiasa berulang dan orang yang masih tidak mahu belajar daripada sejarah akan akhirnya di ajar oleh sejarah jua!

Berlatar belakangkan itu apakah tidak benar bahawa Anwar Ibrahim perlu mengadap Condoleezza Rice sebelum boleh bertanding mana-mana pilihanraya kecil. Paling tidak pun beliau mesti perlu meletakkan jawatan selaku Chairman Foundation For The Future yang disandangnya sebagai wakil pilihan khas Amerika kerana adalah tidak wajar seorang ahli parlimen Malaysia akan juga merupakan seorang wakil khas bagi kepentingan Jabatan Negara Amerika pada masa yang sama?

Anwar Ibrahim di pandang tinggi oleh Amerika dan beliau di sanjung sebagai seorang pemimpin ulung Malaysia. Ini adalah fakta jelas di website http://www.foundationforfuture/ dimana Anwar di perkenalkan sebagai seorang "wira ketika kemelut kewangan Malaysia satu masa dahulu apabila beliau telah dengan cemerlang mengatasinya sebagai Menteri Kewangan merangkap Timbalan Perdana Menteri." Quote “ Highly respected for his principled stance against corruption and his skillful management of the Malaysian economy during the turbulent period of its financial crisis.” Disini lah perbedaan sejarah yang ditulis Amerika dengan sejarah yang kita diketahui umum.

posting saya didalam http://www.sa-free.org/ dan http://www.chedet.com/

Wednesday, April 30, 2008

DAMAI

MELAYU BERDAMAI LAH!
Gelodak PRU 12 telah mengejutkan sesetengah pihak sementara di satu pihak yang lain pula terasa puas kerana berjaya mengocak. Namun yang jadi pertaruhan ialah Bahtera Merdeka takut-takut nanti, tewas dilanda ombak.Mengenepikan soal dalaman parti, dimana kini masing-masing bertelagah pendapat dan memperjuangkan pandangan, saya ingin melihat kepada UMNO sebagai wadah yang termangsa kiri dan kanan.

Banyak sudah diperkatakan oleh banyak orang yang mana masing-masing mencurahkan perasaan hasil daripada terlalu amat sayangnya kepada parti itu sendiri. Dalam pada itu ada juga yang masih sombong dan bongkak, mengutamakan diri seolah-olah tidak peduli kampong tergadai. Paling sedih ada pula yang terperangkap, yang terluka jiwa dan hilang pedoman hingga kecewa pada perjuangan. Tidak kurang yang menambahkan kekecewaan dan menyakitkan perasaan.

Saya ingin mengingatkan diri saya untuk sentiasa jujur pada perjuangan dan redha pada ketentuan. Begitu juga saya ingin menyeru kepada semua ahli-ahli UMNO agar bersatu hati dan perkukuhkan sumbangan untuk meneruskan perjuangan.

UMNO tidak kalah, cuma UMNO telah berani di sanggah. Memang UMNO tak kalah banyak kerusi tetapi UMNO dikira kalah apabila pakatan BN yang dipimpinnya banyak yang kalah. UMNO juga mesti menerima hakikat PRU 12 menempa sejarah apabila BN hilang pegangan di banyak Negeri dan ini tidak pernah berlaku dan tidak langsung terfikir boleh berlaku. Orang melayu ada pepatah 'Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja di sanggah'. Bukan lah maksud saya UMNO zalim tetapi tidak mustahil UMNO telah berlaku zalim kepada dirinya sendiri?
UMNO mesti terus dipertahankan dan kepada ramai yang sudah memandang sepi dan yang telah diberi persepsi yang salah perlu di pulihkan. Orang melayu tiada pilihan lain sekiranya ia masih tidak faham, maka ini lah sebenarnya cabaran yang tersangat perlu kepada UMNO untuk pikul dan terangkan. Saya yakin lebih ramai orang melayu yang tersalah anggap daripada yang memang terpahat dihati untuk tidak mahu menerima perjuangan UMNO. Mereka itu kita ketepikan dahulu kerana mereka ini memerlukan pendekatan yang berlainan. Yang penting ialah orang-orang yang tertipu pandangan ini menjadi satu jihad kepada orang UMNO untuk memulihkan mereka daripada tersihir dengan penipuan yang terkutuk oleh pengkhianat perjuangan. Dalam pada itu, kita juga akan dapati 'batu-batu api' yang memang kerjanya menangguk diair keruh dan orang-orang ini kita juga letak di tepi. "Musuh dalam selimut" kita pijak habis-habisan kerana orang seperti ini tidak diperlukan oleh kita dan juga musuh kita, kerana golongan ini adalah makhluk perosak yang akan merosakkan walau dimana mereka berada.

Orang-orang UMNO pula perlu mengubah dan menerima perubahan baik secara sendiri atau di indoktrinkan semula. Ini perkara asas dan jika ini tidak berlaku senarai sepanjang 'Plus Highway' pun tidak akan menjadi ubat untuk memulihkan UMNO. Saya yakin semua ahli UMNO disemua peringkat sudah maklum akan penyakit yang dikatakan ada pada kita. Ini menjadi sebutan dimana-mana dan ianya di suarakan daripada persepsi yang berbeza-beza. Namun hakikatnya kuman juga menjadi ubat, cuma kita perlu memperbetulkan persepsi negatif yang telah di sebar luaskan. Perkara yang elok pun kalau dilihat dari sudut negatif, maka tidak boleh dielakkan, ia akan dipandang negatif bergantung kepada tahap pemahaman masing-masing orang. Jadi UMNO kena ambil iktibar dan meneliti setiap pandangan dan semua orang UMNO kena merendah diri untuk mendapat penerimaan semula. Mengalah tidak bererti kalah.

Akhir sekali saya menyeru kepada pemimpin-peminpin melayu walau setebal mana perselisihan diantara kita, carilah titik pertemuan untuk kita mulakan penyatuan demi Agama, Bangsa dan Negara.

Didalam konteks ini, demi UMNO, saya berpendapat Pak Lah dan Tun Dr.M perlu mengorak langkah. Pedulikan semua orang dan pedulikan semua isu, hanya pegang kepada satu, iaitu UMNO perlu bersatu dan UMNO perlukan kamu berdua. Ya! Tun Dr.M masih relevan, selaku bekas pemimpin. Siapa yang tidak setuju tentang relevannya Tun Dr.M, saya kata mereka itu kurang ajar. Saya juga merayu dengan rendah diri kepada pemimpin melayu yang disebelah sana, iaitu Hj.Hadi dan Nik Aziz, pakat-pakat lah untuk mengorak langkah penyatuan. Satukan Melayu UMNO dan Melayu PAS kerana perpecahan ini tidak disukai Tuhan. Pak Lah bersama Tun Dr.M boleh mendamaikan UMNO sementara Hj.Hadi dan Nik Aziz boleh mendamaikan PAS dengan UMNO. Ketepikan semua perbezaan utamakan kesamaan dan persaudaraan.

Ikhlas dari saya yang saya percaya ramai orang lain juga berpandangan yang sama.

Monday, April 28, 2008

Panglima Sorak

Seboleh mungkin saya memang tidak mahu terlibat dalam polemik kepimpinan mahupun menyumbang komen terhadap sebarang perkara dalaman. Namun peristiwa memohon maaf oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia diatas tindakan 'melambai' Keris Panca Warisan sudah melampaui batas dan mengguris perasaan.

Pertamanya saya katakan "melambai" keris ialah kerana sememangnya perbuatan beliau pada ketika itu lebih kepada melambai-lambai daripada "menghunus" keris lambang keperwiraan. Saya katakan demikian kerana tiada tindakan tersusun yang terhasil dan yang boleh dikaitkan dengan semangat tersebut.

Riuh rendah dan tempik sorak tempoh hari sehingga melambai keris, diikuti pula dengan tindakan yang bercelaru dan hasil yang lebih mengharukan, hanya membuktikan tindak tanduk Pemuda UMNO lebih banyak menyakitkan hati orang Melayu daripada berjuang untuk memartabatkan perjuangan melayu. Inilah salah satu punca kebencian orang Melayu dan di terjemahkan didalam PRU 12.
Keris adalah lambang keperwiraan yang mana pada adab nya apabila Pahlawan dititah oleh Raja maka keris di serahkan sebagai simbol arahan. Sang Pahlawan pula akan menghunuskan keris sebagai simbol cabaran kepada musuh dan apabila cabaran disambut, pertarungan pun berlaku.

Pada suasana biasa keris akan kekal didalam sarungnya dan Pahlawan bergaya memakainya. Keris juga dihunus sebagai simbol untuk menderhaka atau apabila sipemakai dirasuk keinginan mengamok.
Orang Melayu selama-lamanya bertolak ansur atau lebih tepat lagi asyik "bertolak dan beransur". Mari kita renungkan apa maksud saya, jika dilihat perkara berikut sebagai contoh:-
- Tiada lagi Bangsa Melayu - Yang tinggal Kaum Melayu

- Tiada lagi Bahasa Melayu - Yang tinggal Bahasa Malaysia

- Tiada lagi Sekolah Melayu - Yang tinggal Sekolah Kebangsaan

- Tiada lagi Adat Melayu - Yang tinggal Warisan Melayu

- Tiada lagi Parti Melayu - Yang tinggal Parti UMNO yang malu memartabatkan Melayu

Kenapa kita perlu memohon maaf sehingga ke tahap ini sedangkan banyak sudah kita bertolak dan beransur?

Bila orang cina membakar mercun, bukan budaya kita tetapi budaya mereka. Kita tidak marah mahupun tersinggung. Bila wakil rakyat DAP bukan hanya tidak mahu, malah membantah dan tidak hadir majlis yang perlu mereka bersongkok, orang melayu membisu layu. Kini sesudah dapat mematahkan semangat Melayu dan berjaya memerintah di negeri Melayu, bersongkok pula wakil rakyat DAP. Ini cuma menunjukkan bongkak dan kurang ajar mereka kepada orang melayu. Pemuda UMNO kekal membisu dan layu. Hal-hal lain heboh riuh rendah bagai nak rak.

Semua ini yang membuatkan UMNO dipandang tidak relevan. Mengapa tidak, kerana sebagai Parti Melayu, UMNO sudah tidak peka kepada maruah dan budaya melayu yang asas. Ini semua yang membuatkan orang Melayu merasa sayu dan menjauh hati. Orang Melayu terkenal dengan sikap memendam rasa dan perasaan. Apabila tiba masa ianya meletup dengan amukan yang dasyat.

Memang sejarah pernah tercatit bagaimana Dato Onn pernah cuba membawa UMNO keluar dari landasan sebagai Parti Melayu melalui cadangan membuka keahliannya. Apakah kini cucunda Dato Onn ingin mencemarkan maruah yang sudah hampir tergadai?

Wahai Pemuda UMNO, kembali lah kamu sebagai Pejuang Melayu yang tulen. Kembalilah kepada asas perjuangan dan bawa ia ke era kecemerlangan. Selama ini Parti UMNO menjulang Ketuanan Melayu bukan menyusahkan kaum-kaum pendatang. Malahan perjuangan UMNO telah membawa tuah kepada mereka. Perjuangan UMNO telah menjadikan Malaysia tuan rumah yang baik kepada semua rakyatnya yang majmuk dan memastikan kelangsungan kehidupan mereka dengan bebas, aman dan makmur. Malaysia yang majmuk menjanjikan harapan kepada semua tanpa melupakan hak anak peribumi yang telah terjajah selama ratusan tahun. Oleh itu jangan lah kita merasa terendah diri hanya dek kekeliruan yang dicetuskan oleh penderhaka yang kemaruk kuasa pada PRU 12.

Wahai Pemuda harapan Bangsa, jangan malu untuk balik kepangkal jalan apabila tersesat dihujung jalan.

Saya bukan perkauman tetapi saya pejuang dan anggota parti melayu, dan apabila ianya parti melayu tidak bermakna kita hendak bermusuh dengan orang lain. Selama ini Parti Melayu UMNO telah berjaya berkongsi kuasa dengan rakan-rakan yang faham dan tidak memusuhi kita. Cuma pada PRU 12, banyak perkara telah berlaku yang menggugat perkongsian ini. UMNO perlu bermuhasabah diri dan lihat kembali dimana yang perlu diperbaiki. Saya yakin kita telah ditewaskan oleh persepsi buruk yang di gembar gemburkan oleh penderhaka bangsa, yang telah dengan licik mengambil kesempatan diatas kecelaruan kepimpinan dan kelayuan perjuangan.

"Sindrom diam" tidak membantu, kerana sikap diam atas percaya, akan hanya mengundang kecewa. Sindrom diam juga telah banyak menyakitkan hati orang melayu yang mengharap kepada kita. Memang nasi dah menjadi bubur tetapi "bubur PRU 12" masih boleh dijadikan "porridge", cuma perlu perencah yang enak.

Selain isu mohon maaf ni, ada juga perkara yang banyak orang tak senang hati dan disini saya memberi amaran kepada pemimpin yang celupar, sedarlah bahawa anda itu pemimpin, jadi jangan bercakap sembarangan. Kalau ia pun nak komen atau menyokong, jangan sampai sokongan membawa rebah! Jangan pula sokong dan sokong sampai rebah! Di kalangan yang rajin keluar publisiti dan bicara di media-media tu tengok-tengok lah kelaku anda, siapa termakan cili dia rasa lah pedasnya. Pemimpin Melayu cakap biar beradap, kelakuan pula penuh beradat! Orang ramai tak buta dan tidak juga tolol kalau pun tak secerdik!

Tulisan ini adalah pandangan dan perasaan peribadi saya, insan yang kerdil;