Monday, April 28, 2008

Panglima Sorak

Seboleh mungkin saya memang tidak mahu terlibat dalam polemik kepimpinan mahupun menyumbang komen terhadap sebarang perkara dalaman. Namun peristiwa memohon maaf oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia diatas tindakan 'melambai' Keris Panca Warisan sudah melampaui batas dan mengguris perasaan.

Pertamanya saya katakan "melambai" keris ialah kerana sememangnya perbuatan beliau pada ketika itu lebih kepada melambai-lambai daripada "menghunus" keris lambang keperwiraan. Saya katakan demikian kerana tiada tindakan tersusun yang terhasil dan yang boleh dikaitkan dengan semangat tersebut.

Riuh rendah dan tempik sorak tempoh hari sehingga melambai keris, diikuti pula dengan tindakan yang bercelaru dan hasil yang lebih mengharukan, hanya membuktikan tindak tanduk Pemuda UMNO lebih banyak menyakitkan hati orang Melayu daripada berjuang untuk memartabatkan perjuangan melayu. Inilah salah satu punca kebencian orang Melayu dan di terjemahkan didalam PRU 12.
Keris adalah lambang keperwiraan yang mana pada adab nya apabila Pahlawan dititah oleh Raja maka keris di serahkan sebagai simbol arahan. Sang Pahlawan pula akan menghunuskan keris sebagai simbol cabaran kepada musuh dan apabila cabaran disambut, pertarungan pun berlaku.

Pada suasana biasa keris akan kekal didalam sarungnya dan Pahlawan bergaya memakainya. Keris juga dihunus sebagai simbol untuk menderhaka atau apabila sipemakai dirasuk keinginan mengamok.
Orang Melayu selama-lamanya bertolak ansur atau lebih tepat lagi asyik "bertolak dan beransur". Mari kita renungkan apa maksud saya, jika dilihat perkara berikut sebagai contoh:-
- Tiada lagi Bangsa Melayu - Yang tinggal Kaum Melayu

- Tiada lagi Bahasa Melayu - Yang tinggal Bahasa Malaysia

- Tiada lagi Sekolah Melayu - Yang tinggal Sekolah Kebangsaan

- Tiada lagi Adat Melayu - Yang tinggal Warisan Melayu

- Tiada lagi Parti Melayu - Yang tinggal Parti UMNO yang malu memartabatkan Melayu

Kenapa kita perlu memohon maaf sehingga ke tahap ini sedangkan banyak sudah kita bertolak dan beransur?

Bila orang cina membakar mercun, bukan budaya kita tetapi budaya mereka. Kita tidak marah mahupun tersinggung. Bila wakil rakyat DAP bukan hanya tidak mahu, malah membantah dan tidak hadir majlis yang perlu mereka bersongkok, orang melayu membisu layu. Kini sesudah dapat mematahkan semangat Melayu dan berjaya memerintah di negeri Melayu, bersongkok pula wakil rakyat DAP. Ini cuma menunjukkan bongkak dan kurang ajar mereka kepada orang melayu. Pemuda UMNO kekal membisu dan layu. Hal-hal lain heboh riuh rendah bagai nak rak.

Semua ini yang membuatkan UMNO dipandang tidak relevan. Mengapa tidak, kerana sebagai Parti Melayu, UMNO sudah tidak peka kepada maruah dan budaya melayu yang asas. Ini semua yang membuatkan orang Melayu merasa sayu dan menjauh hati. Orang Melayu terkenal dengan sikap memendam rasa dan perasaan. Apabila tiba masa ianya meletup dengan amukan yang dasyat.

Memang sejarah pernah tercatit bagaimana Dato Onn pernah cuba membawa UMNO keluar dari landasan sebagai Parti Melayu melalui cadangan membuka keahliannya. Apakah kini cucunda Dato Onn ingin mencemarkan maruah yang sudah hampir tergadai?

Wahai Pemuda UMNO, kembali lah kamu sebagai Pejuang Melayu yang tulen. Kembalilah kepada asas perjuangan dan bawa ia ke era kecemerlangan. Selama ini Parti UMNO menjulang Ketuanan Melayu bukan menyusahkan kaum-kaum pendatang. Malahan perjuangan UMNO telah membawa tuah kepada mereka. Perjuangan UMNO telah menjadikan Malaysia tuan rumah yang baik kepada semua rakyatnya yang majmuk dan memastikan kelangsungan kehidupan mereka dengan bebas, aman dan makmur. Malaysia yang majmuk menjanjikan harapan kepada semua tanpa melupakan hak anak peribumi yang telah terjajah selama ratusan tahun. Oleh itu jangan lah kita merasa terendah diri hanya dek kekeliruan yang dicetuskan oleh penderhaka yang kemaruk kuasa pada PRU 12.

Wahai Pemuda harapan Bangsa, jangan malu untuk balik kepangkal jalan apabila tersesat dihujung jalan.

Saya bukan perkauman tetapi saya pejuang dan anggota parti melayu, dan apabila ianya parti melayu tidak bermakna kita hendak bermusuh dengan orang lain. Selama ini Parti Melayu UMNO telah berjaya berkongsi kuasa dengan rakan-rakan yang faham dan tidak memusuhi kita. Cuma pada PRU 12, banyak perkara telah berlaku yang menggugat perkongsian ini. UMNO perlu bermuhasabah diri dan lihat kembali dimana yang perlu diperbaiki. Saya yakin kita telah ditewaskan oleh persepsi buruk yang di gembar gemburkan oleh penderhaka bangsa, yang telah dengan licik mengambil kesempatan diatas kecelaruan kepimpinan dan kelayuan perjuangan.

"Sindrom diam" tidak membantu, kerana sikap diam atas percaya, akan hanya mengundang kecewa. Sindrom diam juga telah banyak menyakitkan hati orang melayu yang mengharap kepada kita. Memang nasi dah menjadi bubur tetapi "bubur PRU 12" masih boleh dijadikan "porridge", cuma perlu perencah yang enak.

Selain isu mohon maaf ni, ada juga perkara yang banyak orang tak senang hati dan disini saya memberi amaran kepada pemimpin yang celupar, sedarlah bahawa anda itu pemimpin, jadi jangan bercakap sembarangan. Kalau ia pun nak komen atau menyokong, jangan sampai sokongan membawa rebah! Jangan pula sokong dan sokong sampai rebah! Di kalangan yang rajin keluar publisiti dan bicara di media-media tu tengok-tengok lah kelaku anda, siapa termakan cili dia rasa lah pedasnya. Pemimpin Melayu cakap biar beradap, kelakuan pula penuh beradat! Orang ramai tak buta dan tidak juga tolol kalau pun tak secerdik!

Tulisan ini adalah pandangan dan perasaan peribadi saya, insan yang kerdil;

No comments: