Wednesday, April 30, 2008

DAMAI

MELAYU BERDAMAI LAH!
Gelodak PRU 12 telah mengejutkan sesetengah pihak sementara di satu pihak yang lain pula terasa puas kerana berjaya mengocak. Namun yang jadi pertaruhan ialah Bahtera Merdeka takut-takut nanti, tewas dilanda ombak.Mengenepikan soal dalaman parti, dimana kini masing-masing bertelagah pendapat dan memperjuangkan pandangan, saya ingin melihat kepada UMNO sebagai wadah yang termangsa kiri dan kanan.

Banyak sudah diperkatakan oleh banyak orang yang mana masing-masing mencurahkan perasaan hasil daripada terlalu amat sayangnya kepada parti itu sendiri. Dalam pada itu ada juga yang masih sombong dan bongkak, mengutamakan diri seolah-olah tidak peduli kampong tergadai. Paling sedih ada pula yang terperangkap, yang terluka jiwa dan hilang pedoman hingga kecewa pada perjuangan. Tidak kurang yang menambahkan kekecewaan dan menyakitkan perasaan.

Saya ingin mengingatkan diri saya untuk sentiasa jujur pada perjuangan dan redha pada ketentuan. Begitu juga saya ingin menyeru kepada semua ahli-ahli UMNO agar bersatu hati dan perkukuhkan sumbangan untuk meneruskan perjuangan.

UMNO tidak kalah, cuma UMNO telah berani di sanggah. Memang UMNO tak kalah banyak kerusi tetapi UMNO dikira kalah apabila pakatan BN yang dipimpinnya banyak yang kalah. UMNO juga mesti menerima hakikat PRU 12 menempa sejarah apabila BN hilang pegangan di banyak Negeri dan ini tidak pernah berlaku dan tidak langsung terfikir boleh berlaku. Orang melayu ada pepatah 'Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja di sanggah'. Bukan lah maksud saya UMNO zalim tetapi tidak mustahil UMNO telah berlaku zalim kepada dirinya sendiri?
UMNO mesti terus dipertahankan dan kepada ramai yang sudah memandang sepi dan yang telah diberi persepsi yang salah perlu di pulihkan. Orang melayu tiada pilihan lain sekiranya ia masih tidak faham, maka ini lah sebenarnya cabaran yang tersangat perlu kepada UMNO untuk pikul dan terangkan. Saya yakin lebih ramai orang melayu yang tersalah anggap daripada yang memang terpahat dihati untuk tidak mahu menerima perjuangan UMNO. Mereka itu kita ketepikan dahulu kerana mereka ini memerlukan pendekatan yang berlainan. Yang penting ialah orang-orang yang tertipu pandangan ini menjadi satu jihad kepada orang UMNO untuk memulihkan mereka daripada tersihir dengan penipuan yang terkutuk oleh pengkhianat perjuangan. Dalam pada itu, kita juga akan dapati 'batu-batu api' yang memang kerjanya menangguk diair keruh dan orang-orang ini kita juga letak di tepi. "Musuh dalam selimut" kita pijak habis-habisan kerana orang seperti ini tidak diperlukan oleh kita dan juga musuh kita, kerana golongan ini adalah makhluk perosak yang akan merosakkan walau dimana mereka berada.

Orang-orang UMNO pula perlu mengubah dan menerima perubahan baik secara sendiri atau di indoktrinkan semula. Ini perkara asas dan jika ini tidak berlaku senarai sepanjang 'Plus Highway' pun tidak akan menjadi ubat untuk memulihkan UMNO. Saya yakin semua ahli UMNO disemua peringkat sudah maklum akan penyakit yang dikatakan ada pada kita. Ini menjadi sebutan dimana-mana dan ianya di suarakan daripada persepsi yang berbeza-beza. Namun hakikatnya kuman juga menjadi ubat, cuma kita perlu memperbetulkan persepsi negatif yang telah di sebar luaskan. Perkara yang elok pun kalau dilihat dari sudut negatif, maka tidak boleh dielakkan, ia akan dipandang negatif bergantung kepada tahap pemahaman masing-masing orang. Jadi UMNO kena ambil iktibar dan meneliti setiap pandangan dan semua orang UMNO kena merendah diri untuk mendapat penerimaan semula. Mengalah tidak bererti kalah.

Akhir sekali saya menyeru kepada pemimpin-peminpin melayu walau setebal mana perselisihan diantara kita, carilah titik pertemuan untuk kita mulakan penyatuan demi Agama, Bangsa dan Negara.

Didalam konteks ini, demi UMNO, saya berpendapat Pak Lah dan Tun Dr.M perlu mengorak langkah. Pedulikan semua orang dan pedulikan semua isu, hanya pegang kepada satu, iaitu UMNO perlu bersatu dan UMNO perlukan kamu berdua. Ya! Tun Dr.M masih relevan, selaku bekas pemimpin. Siapa yang tidak setuju tentang relevannya Tun Dr.M, saya kata mereka itu kurang ajar. Saya juga merayu dengan rendah diri kepada pemimpin melayu yang disebelah sana, iaitu Hj.Hadi dan Nik Aziz, pakat-pakat lah untuk mengorak langkah penyatuan. Satukan Melayu UMNO dan Melayu PAS kerana perpecahan ini tidak disukai Tuhan. Pak Lah bersama Tun Dr.M boleh mendamaikan UMNO sementara Hj.Hadi dan Nik Aziz boleh mendamaikan PAS dengan UMNO. Ketepikan semua perbezaan utamakan kesamaan dan persaudaraan.

Ikhlas dari saya yang saya percaya ramai orang lain juga berpandangan yang sama.

2 comments:

Anonymous said...

Cakap2 ramai orang, adakah UMNO masih releven? Mengapa bila sudah kalah teruk, 6 negeri hanyut ke barisan alternatif, barulah orang2 UMNO beriya2 untuk satukan UMNO dan PAS? Adakah pandangan ini ikhlas atau sekadar ingin menyambung nyawa umno yang kian padam ditelan masa? Cuba fikir2 kan..

penpusaka said...

Benar, ramai suara-suara yang cakap macam tu sekarang. Relevan ke tidak itu satu soal yang perlu bincang lebih mendalam. Takkan sebab tak menang macam biasa dah jatuh tak relevan. Hakikat masih ramai yang sokong UMNO dan masih ramai yang 'concern' pun cukup nak kata UMNO tu masih relevan. Kita patut buka hati pada seruan-seruan bersatu tak kira lah datang dari pihak mana.