Thursday, February 12, 2009

Ajak PAS ke atau ajak DAP?

Tidak boleh dinafikan hakikat bahawa satu-satunya "ingredient" atau "bahan utama" kepada resepi kestabilan politik di Malaysia ialah PERPADUAN KAUM.Banyak negara didunia sejak sekian lama telah terangsang malah merasa kagum dengan kebolehan rakyat Malaysia hidup harmoni diantara satu sama lain dalam keadaan perbezaan yang amat nyata disudut bahasa, budaya, agama dan keturunan.

Kita sendiri sebagai rakyat Malaysia tidak pernah merasa kekok untuk hidup dan berkongsi Negara ini dengan warga berbilang kaum, malahan kita menganggap ianya sebagai sesuatu yang tidak pelik langsung.

Bagi para pengkaji, tentunya berbagai bentuk rumusan telah dibuat dalam mengenalpasti bagaimana ianya boleh berlaku dan apakah rahsia disebaliknya.

Saya cenderong mengatakan bahawa ianya berlaku kerana ketelusan kita dan kesediaan kita menerima hakikat semulajadi kejadian.Ambil contoh sebuah negara jiran Indonesia. Disana satu masa dahulu mereka "cuba" mengingkari kejadian semulajadi apabila semua warga yang berlainan kaum diubah menjadi satu bangsa yang baru iaitu Bangsa Indonesia.Walaupun kaum melayu merupakan majoriti dan menguasai kehidupan namun kaum cina yang sangat minoriti telah diserapkan melalui konsep satu negara satu bangsa, dan akhirnya semua berjalan sama rata dan sama rasa.Tiada polisi keistemewaan pribumi mahupun tiada pengiktirafan agama rasmi di Indonesia.Kehidupan dan Kerajaan dijalankan dibawah sebuah dasar Panca Sila. Ini jelas memberikan semua kaum dan agama sama taraf disisi Kerajaan dan Pentadbiran. Semuanya nampak sangat adil dan bersatu sebagai sebuah bangsa dan sebuah negara.Hasil dari dasar ini, kita dapati orang cina bertukar dan menjadi warga Indonesia sejati sehinggakan nama,bahasa pertuturan dan budaya kehidupan mereka pun semuanya menjadi sangat Indonesia.Ianya dilihat berjaya.

Namun apakah kesudahannya, disangka panas hingga kepetang rupanya hujan ditengahhari.Kita masih ingat saat-saat cemas di Indonesia apabila terjadi rusuhan dimana sesetengah pihak membakar gedung-gedung milik pihak yang lain, walaupun yang merusuh dan yang dirusuh adalah semuanya warga Indonesia.Mengapakah ianya terjadi?Difahamkan ianya berlaku kerana ketidakpuasan hati warga Indonesia Melayu terhadap Warga Indonesia Cina.

Kalaupun ianya dikatakan berpunca dari ketidakseimbangan agihan kekayaan diantara warga, mengapakah dikaitkan perbezaan kaum? Inilah hakikatnya. Hakikat bahawa walaubagaimanapun manusia yang kejadiannya adalah ciptaan Allah SWT dijadikan berbilang kaum dan berbeza warna kulit, cuba diubah menjadi sama, ia tetap berbeza!

Percubaan diIndonesia adalah jelas cuba menghapuskan perbezaan asal kejadian untuk disatukan dan disamakan dan ini adalah usaha manusia merubah kejadian Allah SWT.Hakikatnya kita tetap berbeza tetapi Allah SWT telah memberikan satu jalan untuk kita bersatu, iaitu apabila kita berpegang ditali Allah, maka kita bersaudara dan kita berada disatu barisan. Orang moden mengatakan UNITY IN DIVERSITY!

Agama kita Islam adalah agama yang lengkap.Bagi mereka yang beriman dan bertakwa,amat tahu akan kepentingan perpaduan.Tiada alasan atau hujah selain daripada yang telah dibawakan oleh Al Quran dan Sunnah dapat memberikan penafsiran yang lain kepada kepentingan perpaduan.Peri pentingnya perpaduan amat ditekankan sehinggakan apabila saudara yang tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari, maka haram baginya Syurga dan tidak terangkat ibadah sembahyangnya.Begitulah bagaimana unsur-unsur perpecahan sangat dibenci oleh Allah SWT.Diriwayatkan juga bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang membawa maksud bahawa sekiranya kamu telah mengangkat seseorang pemimpin itu dan kemudian kamu mengangkat yang lain, walaupun yang kedua itu lebih layak, hendaklah kamu bunuh yang kedua itu kerana yang demikian itu akan membawa kepada perpecahan.

Perpaduan kaum di Malaysia, tidak perlu kepada perubahan bahasa,budaya dan agama.Cukup dengan ikrar taat setia kepada negara dan menjadi warganegara.Masing-masing kaum menerima hakikat kewujudan dan kontrak sosial diawal penubuhan negara telah meletakkan asas-asas penerimaan hak secara telus dan adil.Kaum Cina, India dan lain-lain menerima hakikat keistimewaan pribumi dan ketuanan melayu didalam konteks sejarah dan pembinaan bangsa dan negara.Maka ketelusan ini menjadikan semuanya jelas dan tegas tanpa kekeliruan lagi akan hakikat kesepakatan kaum didalam menjalankan hak masing-masing didalam sebuah negara majmuk.

Politik kepartian telah membentuk saluran-saluran bagi setiap kaum iaitu Parti Melayu, Parti Cina dan Parti India.Masing-masing menjaga dan memperjuangkan kaum masing-masing dan kemudiannya mereka bersatu dibawah satu medan musyawarah melalui Gabungan Barisan Nasional.Inilah resepi yang memberikan kekuatan dan semangat kepada kesatuan Barisan Nasional yang boleh dikatakan UNITY IN DIVERSITY!.

Kemelut politik hari ini ialah apabila ada pihak yang cuba merungkai kesatuan ini dengan membawa konsep "iri hati".Membangkitkan semangat iri hati diantara satu kaum dengan kaum yang lain.Didalam proses itu ianya membuka polemik tidak berkesudahan yang menyentuh hingga ke dasar.Dasar yang telah diasaskan untuk mengelak polemik sedemikian kini dijadikan bahan untuk diungkit dan dirombak.Akibatnya ada yang tersasar dan hilang punca.Ini mengakibatkan kerapuhan yang disengajakan untuk menggugat kekuatan yang telah terbentuk.

Semua ini berbalik kepada kepentingan politik.Jadi berlatarbelakangkan hakikat ini, saya merasakan bahawa seruan untuk PAS bergabung dengan Barisan Nasional adalah sesuatu yang bukan isu.Jika PAS itu sendiri benar didalam perjuangannya untuk Islam, maka ianya sudah sepatutnya tidak wujud dari awal.Islam membenci perpecahan sehinggakan ia memberikan berbagai garis panduan untuk mengelakkan perpecahan dan bagaimana mengambil jalan perpaduan.Salah satu jalan perpaduan yang akan mengelakkan perpecahan ialah dengan tidak menubuhkan parti politik untuk melawan pemerintah yang sediaada yang dipimpin oleh pimpinan Islam.Sebaliknya perjuangan PAS nampaknya lebih kepada perlawanan politik untuk mengambil alih peranan UMNO dan untuk mengajak ummah lari daripada UMNO kepadanya.Ini ialah politik perpecahan ummah dan ini adalah asas perjuangan PAS.

Apakah dengan mengajak PAS yang sendirinya adalah punca perpecahan ummah akan dapat menenangkan politik tanahair?Apakah ianya bertujuan untuk menyatukan orang melayu bagi melawan orang lain?Ianya akan berdiri diatas premis yang salah dan tidak benar.Kalau perpaduan bangsa yang kita inginkan agar politik tanahair kembali tenang dan kerja membina bangsa dapat dilakukan, maka didalam konteks suasana hari ini adalah lebih afdal jika Barisan Nasional mengajak parti kaum cina seperti DAP untuk bersatu bersama Barisan Nasional.PAS tidak perlu diajak, PAS seharusnya bersama-sama dengan UMNO didalam membina Negara dan melakukan kebajikan terhadap orang Melayu demi mencapai tuntutan Agama.Yang perlu diajak ialah DAP kerana ianya membawa suara kaum cina yang telah diselewengkan pemikiran mereka oleh pejuang-pejuang songsang, yang telah mengeksploitasikan fahaman "iri-hati" sehingga mereka terdorong untuk memisahkan diri daripada barisan rakyat yang bersatu selama ini!

Saya yakin sekiranya perkara ini dilihat dengan penuh teliti dan diaturkan dengan penuh keikhlasan oleh semua pihak baik Barisan Nasional mahupun DAP, ianya akan membuahkan kesejahteraan dan keharmonian Bangsa dan Negara yang lebih berkesan.Biarkan PAS memikirkan jalan kembalinya!Sesungguhnya Allah SWT tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu selagi ia tidak berusaha merubahnya!

No comments: