Saturday, August 15, 2009

Tikam Belakang!

Pengarah Siasatan SPRM mengumumkan bahawa berkuatkuasa serta merta akan membekukan semua siasatan yang melibatkan ahli politik! Kenapa beliau melatah? Perlukah Malaysia dengan kontroversi ini? Siapa dia untuk membuat keputusan itu?

Kenyataan itu sendiri boleh dilihat sebagai satu permainan politik oleh orang yang tidak sepatutnya berpolitik. Apa urusan beliau untuk memberikan penilaian terhadap diri batang tubuh orang yang disyaki, orang yang dituduh atau sesiapa sahaja yang berkaitan dengan kehendak siasatan sesuatu kes. SPRM tidak ada urusan untuk membeza-bezakan sesiapa. Itu bukan bidang tugas SPRM.

Pada saya, Pengarah ini boleh dikatakan melatah tidak tentu pasal atau memandai-mandai dan tidak salah kalau ditafsirkan sebagai cuba berpolitik. Tindak-tanduknya adalah sesuatu yang tidak sepatutnya datang dari seorang yang diamanahkan dikedudukan itu. Ini satu perbuatan menikam belakang.

Waima apapun akan berlaku selepas ini, Pengarah yang tersebut sudah hilang kredibiliti dan tidak perlulah mengugut "tidak takut hilang jawatan", kerana sudah sepatutnya dia meletakkan jawatan dengan segera. Terpulanglah kepada pihak atasan beliau untuk mengambil langkah-langkah seterusnya terhadap tindakan beliau mengikut prosedur perjawatan.

Kenapa beliau mesti sibuk dengan reaksi mahupun komen ataupun tuduhan orang selagi dia sedang menjalankan tugas yang dia diamanahkan? Kenapa mesti dia kecewa dengan kesusahan sekiranya itu menjadi sebab? Bukankah itu sesuatu yang beliau kena harungi dengan tekun, tegas dan bijaksana? Kalau beginilah respon pemegang amanah sesuatu jawatan terhadap kerenah kerjanya, maka kita akan menghadapi satu situasi pentadbiran yang amat bahaya kepada negara dan kepada semua! Lebih bahaya lagi apabila penjawat awam berfikir dan bertindak seolah-olah dia juga orang politik, sedang dia sebenarnya adalah bukan, dan dia sendiri mengaku tidak berpolitik dalam melaksanakan tugas!

Pengarah Siasatan SPRM tersebut sepatutnya tidak terikut-ikut dengan gendang politik, tetapi sepatutnya menjalankan tugas yang telah diamanahkan dengan bijaksana, berhemah dan paling penting mengikut tatacara dan peraturan serta undang-undang, "without fear and favour", tanpa takut kepada sesiapa, kerana anda berkuasa penuh mengikut amanah dan tanggungjawab anda. Mengapa perlu sibuk? Mengapa perlu takut? Bukankah ada kata-kata "Berani kerana benar, takut kerana salah"?

Apa pun, nasi sudah jadi bubur, dan Pengarah tersebut sudah hilang kelayakan dan dia wajib diambil tindakan dan berkuatkuasa serta merta. Dia perlu dibekukan dari tugas yang beliau cuba bekukan.

Maaf, disini tiada serangan peribadi tetapi hanya reaksi spontan terhadap kenyataan dan tindakan beliau sendiri, seperti tersiar pada Berita Perdana TV3 sebentar tadi. Saya juga berhak menukilkan pandangan saya secara peribadi.

http://penpusaka.blogspot.com

No comments: