Thursday, January 8, 2009

Hudud : Siapa Khianati Hukum Allah?

Tulisan Dr.Aisar Yee dijawab;
Hudud: Siapa khianati hukum Allah?
Oleh: Zainal Abidin Ahmad / Sinar Harian 31hb Disember 2008


“BERSIKAP jujurlah.” Demikian kata-kata penutup yang diluahkan Dr Aisar Yee Abdullah dalam artikel beliau ‘Hudud: UMNO pun main politik’ yang disiarkan Ahad lalu.

Kata beliau: “Dalam usaha menolak usaha Pas itu, beberapa golongan yang terkeliru dalam UMNO yang tidak tahu banyak tentang hudud tetapi sering kali mendapat liputan meluas dari media massa yang dikuasai mereka sebelum ini memberi gambaran bahawa hudud itu sebagai kejam dan segala-galanya...”

Kata beliau lagi: “Maka, orang bukan Islam yang terperangkap dengan peperangan di antara penyokong Pas yang ‘overzealous’ dengan pemimpin UMNO yang tidak berilmu, bertindak menentang pelaksanaan hukum itu....”.

Saya tidak mengenali Dr Aisar. Jadi saya tidak dapat mentafsirkan dengan tepat apa motif beliau dan tentu sekali tidak dapat menilai 'kejujurannya' dan 'keilmuannya' dalam memperkatakan tajuk tersebut.

Namun, sesiapa sahaja yang membaca artikel yang berkenaan akan membuat rumusan bahawa beliau menghuraikan 'isu' yang berbangkit secara 'tidak jujur' dan 'tidak mendalami' duduk perkara. Dia melompat ke dalam arus dengan sikap berat sebelah dan cuba mempengaruhi agar simpati kepada Pas tetapi dalam 'hamburan kata-kata tuduh terhadap UMNO' beliau menjustifikasikan kebenaran beliau dengan menyeru orang lain supaya 'bersikap jujur'.

Saya menyokong pendapat Dr Aisar bahawa Husam diperangkap. Tetapi soalannya, adakah KJ merancang perangkap tersebut? Di sini, Dr Aisar Yee seharusnya bersikap jujur terlebih dahulu, sebelum menyeru orang lain berlaku jujur. Bukankah majlis ‘Wacana Perdana: Transformasi Politik Malaysia’ di Kota Bharu itu adalah anjuran Kerajaan Pas Kelantan? Bukankah jemputan ke atas KJ itu sebenarnya adalah perangkap untuk mengenakan beliau? Bayangkan sekiranya Husam dapat menyinar dalam menghadapi 'orang muda UMNO' pada malam itu?

Dr Aisar dengan yakin mengatakan bahawa Tun Dr Mahathir pada masa itu menolak hudud dan bukannya kerajaan Pas tidak mahu melaksana hudud, ianya gagal dilaksana kerana ditolak Kerajaan Persekutuan.

Kata Dr Aisar “pada 1994, PM menulis surat rasmi kepada MB Kelantan dengan menyebut bahawa: Jika Pas cuba juga untuk melaksanakan undang-undang hudud yang diciptanya, Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kerajaan Pas".

Isu hudud ini, adalah bukan cerita baru, ini bukan angkara Khairy Jamaludin atau pun isu baru yang memerangkap Husam Musa. Hudud adalah ‘produk Islam’ yang menjadi bahan yang dijaja oleh Pas untuk meraih sokongan bagi membuktikan dia memperjuangkan Islam.

Lebih hina lagi, dalam pada Pas sejak beberapa siri pilihan raya cuba mendapatkan sokongan melalui seruan hudud, telah tanpa segan silu cuba melarikan kesetiaan ummah terhadap UMNO dengan menuduh bahawa UMNO menolak Islam, UMNO menolak Hudud! Isu ini menjadi polemik dan bahan ceramah yang paling laris. Tambahan lagi dengan gagalnya Kerajaan Kelantan melaksanakan hudud melalui Kanun Jenayah Syariah (11) Kelantan yang diwartakan pada 28 Oktober 1993.

Menjadi-jadilah pihak Pas menjaja ke seluruh pelosok bahawa Kerajaan Pusat UMNO menolak hudud. Apa lagi, maka surat PM seperti disebut Dr Aisar itu, dijaja dan digunakan sebagai bahan bukti yang mereka bercakap benar.

Jadi untuk berlaku adil, Dr Aisar sepatutnya meneliti dahulu apa itu Hudud, apa itu Kanun Jenayah Syariah (11) Kelantan yang didakwa sebagai hudud oleh Pas dan apa sebenarnya isi kandungan dan sebab surat yang diberikan oleh PM itu, sebelum terus mengikut rentak dan bual bicara tanpa usul periksa.

Kita jangan lupa Presiden Pas Tuan Guru Haji Hadi pada waktu gemilangnya di mercu kuasa kerajaan Terengganu, pernah berkata lebih kurang begini; “ Hudud adalah satu aspek daripada 0.0001 peratus dari hukum jenayah Islam”.

Beliau berkata demikian apabila diwawancara oleh wartawan bertanyakan kenapa hudud masih tidak dilaksanakan oleh kerajaan Terengganu. Tambahnya 'hudud memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan dan merupakan bahagian yang sangat kecil dalam perundangan Islam'. Itu kata Hj Hadi semasa dianya MB Terengganu.

Kini apabila Husam dengan lantang menjawab KJ Pas tetap laksana hudud apabila memerintah, sekali lagi Hadi diingatkan kepada Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu yang didakwanya hudud dan telah ditolak Kerajaan Pusat.

Apa katanya, terbaru: “Pas tak perlu beri penerangan kepada rakan DAP dan PKR, kerana hudud hanya akan dilaksanakan ke atas orang atau rakyat Islam sahaja, orang kafir boleh pilih undang-undang sivil sedia ada!”

Untuk mengisahkan perbalahan di antara UMNO dan Pas berkenaan hudud ini, memerlukan kajian terperinci tentang hudud itu sendiri mengikut apa yang difaham Pas dan bantahan dari kaca mata UMNO terhadap hudud yang dilaung-laungkan oleh Pas.

Sebagai orang awam sama ada kita mendukung parti politik apa sekalipun, kita jangan terikut-ikut tak tentu hala dan jauh kan diri daripada termakan hasut dan fitnah. Bukan sekali hudud itu hak mutlak Pas untuk dipertanggungjawabkan, UMNO juga tahu akan tanggungjawabnya.

Cuma bezanya ialah Pas yang membangkitkan tentang betapa UMNO perlu dikhianati, kerana ianya tidak menegakkan hudud. Pas sebenarnya yang menggunakan isu hudud mengikut masa dan ketika untuk kepentingan permusuhannya dengan UMNO.

Jika Dr Aisar inginkan sedikit maklumat untuk dibuat penilaian awal secara ilmiah, seperti juga beliau yang telah mendapatkan 'sebahagian besar maklumat' penulisan beliau tersebut melalui buku 'Hudud, Hukum dan Pelaksanaan' oleh Prof Madya Datin Dr Paizah Hj Ismail, saya sarankan beliau membaca 'Hudud-Siapa Khianati Hukum Allah' oleh Hasnul Rahman yang ditulis berdasarkan ulasan dan ceramah Hj Mohd Kamal Saidin, seorang penceramah UMNO yang telah mengulas 'Kanun Jenayah Syariah (11) Kelantan' yang diwartakan dalam Warta Kerajaan Kelantan pada 28 Oktober 1993”.

Saya ingin memetik sedikit ulasan Ustaz Kamal di dalam buku tersebut. Ulasan ini amat relevan kepada apa yang dikatakan dalam kenyataan akhbar Hadi yang terbaru tentang isu Hudud. Pendirian dan kenyataan Hadi ini sebenarnya termaktub sudah dalam Kanun Jenayah Syariah (11) Kelantan, pada Fasal 56 (2) Enakmen tersebut.

Fasal ini mengatakan bahawa 'hukum hudud hanya dikenakan kepada orang Islam sahaja, sementara orang bukan Islam boleh memilih sama ada mahu dihukum dengan hukum hudud atau hukum lain (sivil)'.

Mengulas mengenai fasal ini Ustaz Kamal berkata; “Mengikut kitab-kitab hudud, jenayah hudud hendaklah dikenakan ke atas orang Islam dan orang bukan Islam. Tetapi dalam hudud ciptaan Pas (yang ditolak oleh Kerajaan Pusat Dr M ketika itu) ada pengecualian.

“Kalau Hudud Pas itu cuma mengenakan hukuman terhadap orang Islam sahaja, sedangkan orang-orang bukan Islam dibolehkan memilih hukum lain iaitu undang-undang sivil, terbukti hudud ciptaan Pas itu zalim dan tidak adil”.

Di antara fakta-fakta yang dihujahkan oleh Ustaz Kamal ialah:

Pertama: Berdasarkan Hadis Rasulullah yang bermaksud: “Barang siapa (bukan Islam) iri hati kepada orang-orang Islam dengan melakukan pembunuhan, maka orang yang membunuh itu adalah dera dengan sebab membunuh, kerana hudud itu adalah wajib di atas orang-orang yang melakukan jenayah.”

Kedua; Berdasarkan Hadis Rasulullah yang bermaksud: “Bahawa Rasulullah SAW telah pun menghukum rejam dua orang Yahudi. Kedua-dua itu sebelum berzina telah merasai persetubuhan melalui perkahwinan dalam agamanya.”

Ketiga; Mengikut ijmak ulama-ulama Fiqh yang masyhur, “telah sepakat pendapat bahawa pengakuan taat setia daripada kafir zimmi kepada pemerintah adalah syarat boleh dihukum hudud ke atas mereka itu dan begitu juga dengan kafir harbi yang tidak taat.”

Keempat; Menurut kaedah Imam Syafiee: “Apabila orang kafir telah membunuh orang beriman, hendaklah dibunuh orang kafir itu dengan sebab ia membunuh. Sama ada kafir zimmi, kafir harbi atau kafir yang diberi perlindungan pemerintah, kerana jika Allah SWT telah mengharuskan darah orang-orang Islam dengan sebab membunuh manusia beriman, nescaya darah orang-orang kafir lebih utama diharuskan dengan hukum bunuh.”

Kelima; Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Maaidah, ayat 45 yang bermaksud; “Dan kami wajibkan atas mereka (Yahudi di dalam Taurat) bahawa jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka-luka juga dibalas seimbang. Tetapi barang siapa mendermakan (hak membalasnya) maka dermanya itu jadi penebus dosa baginya....”

Jadi berkenaan kenyataan Hadi yang juga sebenarnya merupakan di antara inti pati Enakmen Jenayah Syariah yang dikatakan hudud oleh Pas itu, para ulama usul Fiqh bersependapat kata-kata yang masyhur di sisi jamhur, hukum jenayah (hudud) Nabi-Nabi yang dahulu diwajibkan ke atas orang-orang Yahudi (bukan Islam), maka hukum jenayah (hudud) Nabi Muhammad SAW adalah juga diwajibkan ke atas orang-orang Yahudi (bukan Islam). Berdasarkan fakta tersebut nyatalah bahawa hukum hudud hendaklah dilaksanakan juga kepada orang-orang bukan Islam.

Kata Ustaz Kamal: “Adalah mengingkari Sunah Rasulullah jika pelaksanaan hukum hudud Pas itu cuma dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja, sementara orang bukan Islam dibolehkan memilih hukum sivil.”

Kesimpulannya, dalam pada Pas meluluskan Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu, yang didakwa hudud tetapi mempunyai banyak percanggahan menurut Islam, tidak penting, yang penting penolakan Kanun Hudud itu oleh Kerajaan Pusat di bawah Dr M dijadikan senjata oleh Pas untuk memburuk-burukkan UMNO. Sedangkan dia sendiri tahu bahawa melaksanakan hudud tidak semudah yang dia gambarkan kepada awam.

No comments: