Wednesday, April 16, 2008

Malapetaka "Black 14"

Permainan politik masakini yang menjurus kepada "rampasan kuasa" ikut demokrasi dipergunakan sepenuhnya. Taktik "matlamat menghalalkan cara" menjadi pegangan sehingga berbagai helah digunakan menjadikan kata-kata pujangga "Menang sorak kampung tergadai" sudah tidak lagi relevan.

Maka tidak hairanlah sentimen perkauman dieksploitasikan secara begitu halus hingga umum hilang pertimbangan dan tidak lagi dapat melihat mana yang benar dan mana yang songsang. Kekeliruan di timbulkan hingga Parti Melayu UMNO dilihat sangat perkauman dan menjadi sasaran. Tidak salah kalau dikatakan perjuangan melayu telah dijadikan "decoy" dalam taktik serangan.

Usaha halus ini mendapat sambutan dan menepati selera pihak-pihak yang telah lama menyimpan dendam untuk menghapuskan ketuanan melayu. Pendekatan terbaru ini sebenarnya adalah serangan tepat kepada sasaran kerana resepi kekuatan BN sebenarnya selama ini adalah kesatuan dan kekuatan kaum Melayu melalui wadah perjuangan parti melayu UMNO.

Golongan muda sepertimana pada 1999 mudah tertarik dengan slogan Reformasi kini terpikat dengan dakyah perkauman dan mula mendekati dan memberikan simpati kepada perjuangan baru BA ini dan terhasil lah kekeliruan yang disengajakan hingga perjuangan melayu dipijak dan digadai.

DAP menggunakan helah bahawa mereka tidak memusuhi BN tetapi cuma memusuhi UMNO, Hindraf juga tidak memusuhi Melayu, tetapi hanya memusuhi UMNO, PAS tidak mendokong perjuangan melayu tetapi hanya membawa Islam dan PKR memperjuangkan keadilan untuk semua kaum dan kesamarataan untuk semua. Hasilnya UMNO dilihat terlalu perkauman dan sudah di nilaikan tidak relevan untuk Malaysia Baru.

Apabila UMNO berjaya disisihkan, matlamat menumpaskan BN sudah dikira selesai kerana seperti ditomahkan, quote " MCA dan MIC hanyalah bodyguard UMNO didalam BN".

Sementara strategi Anwar ini berjaya membuahkan hasilnya pada PRU 12 lalu, perjuangan melayu telah di hancurkan oleh beliau dan ketuanan melayu hampir akan menjadi sejarah sebagaimana robohnya kota melaka ditangan penjajah satu masa dahulu. Maruah Melayu sudah tergadai dan untuk menebusnya, tidak lah dapat kita nilaikan pengorbanan yang akan diperlukan.

Akan berulangkah lagenda Langkawi yang dikisahkan termakan sumpah 7 keturunan atau akan munculkah wira baru yang akan mengembalikan maruah dan meneruskan ketuanan melayu.?

Hanya masa yang akan menentukan atau mungkinkah perjuangan untuk ketuanan melayu akan terkubur tertusuk dek tikaman senjata sendiri ? Disini saya ada terbaca tentang pantang larang keris pahlawan melayu dimana pantang keris di hunus kerana apabila ianya terhunus maka ia perlukan darah!
Saya masih yakin bahawa Ketuanan Melayu merupakan hak pusaka kita dan ianya perlu ditegakkan dan hanya Parti Melayu UMNO yang mewarisi perjuangan ini dan menjadi amanah kepada kita memikulnya atau kita akan disumpah oleh pejuang-pejuang terdahulu sebagai pengkhianat bangsa!
Dalam hal ini, saya menyeru kepada semua ahli Parti Melayu UMNO, pemimpin-pemimpin yang terpilih dan juak-juak yang terbilang supaya jangan sibuk menjaja diri tetapi tumpukan perjuangan kepada membina semula kepercayaan dan memperkukuhkan perjuangan kepada pembinaan semula landasan yang tercemar dan memulihkan gerabak untuk terus memacu amanah untuk Agama, Bangsa dan Negara.

Hidup Melayu adalah obor perjuangan Parti Melayu UMNO, jangan sesekali cuba menyimpang!

No comments: