Saturday, December 20, 2008

Sakit Jantung

Elok tak sakit, tiba-tiba tak kurang ramai juga yang terasa macam nak sakit jantung dalam diam menahan rasa. Apa tidaknya diam tak diam IJN yang tak ada masaalah apa-apa pun tiba-tiba diserang puak kapitalis yang terasa seronok dengan peluang keuntungan yang ada pada nya. Maaf saya mengatakan demikian.

Baru sahaja beberapa hari yang lepas saya lalu di Jalan Tun Razak dan terperasan akan pembinaan blok baru yang sedang dalam pembinaan dan merasa megah melihat IJN sedang membesarkan fasilitinya.

Saya bersetuju dengan pandangan yang dibuat banyak pihak termasuk hari ini ulasan oleh PEKASA yang disiarkan oleh Utusan Malaysia. Majoritinya menegaskan tidak bersetuju dengan cadangan pihak swasta yang bercadang untuk membeli kepentingan kerajaan didalam IJN Holdings Sdn Bhd. Malah Yg Amat Berbahgia Tun Dr.M yang satu waktu dahulu adalah peneraju idea penswastaan melalui konsep Malaysia Inc. juga ternyata tidak bersetuju dengan cadangan yang ini.

Saya setuju dengan beliau. Pada kefahaman saya ketika waktu itu projek penswastaan merupakan satu kaedah untuk membantu kerajaan merealisasikan kepentingan Negara untuk memberi faedah kemajuan kepada umum. Melalui kaedah tersebut maka banyak keperluan infrastruktur dan prasarana atau pun perkhidmatan yang boleh membantu kemajuan disamping membuka peluang kemajuan, dapat dilaksanakan tanpa membebankan perbelanjaan kerajaan ataupun dapat disegerakan dengan keberkesanan modal dan tenaga swasta.

Cadangan penswastaan IJN pula nampak sangat bermotifkan kepentingan swasta lebih utama dari kepentingan Negara dan Rakyat.Bukannya IJN sedang menghadapi kegawatan modal, mahupun kegawatan tenaga pakar ataupun kegawatan perkhidmatan sehingga perlu ianya diselamatkan melalui suntikan modal swasta atau tenaga pakar swasta. IJN biar lah terus dibawah urusan kerajaan sepertimana ianya telah berjaya selama ini. Kalau ia benarlah pihak swasta ingin juga menawarkan khidmat untuk Negara dan Rakyat seperti telah dibuat oleh kerajaan melalui IJN, sepertimana disarankan oleh rata-rata orang ramai, sudi-sudilah pihak swasta membina sebuah lagi Hospital Pakar Jantung serupa dan bersainglah dengan IJN dengan menawarkan harga yang lebih murah dari IJN atau kalau tak mampu bersaing harga, tawar lah perkhidmatan yang lebih baik dari IJN. Saya yakin sumber swasta boleh melakukannya dan rakyat ramai akan dapat menikmati usaha murni tersebut.

Sepatutnya cadangan ini tidak berbangkit dan dalam pada swasta berhak mencari peluang, janganlah sampai nanti dikatakan "tamak" atau lebih buruk lagi dituduh "penyamun". Saya rasa tidak wajar juga kita nak salahkan swasta semata-mata, kerana memang lah dalam tabiat orang berniaga sentiasa mengintai peluang. Jadi pihak Kerajaan perlu lah peka dan stabil pemikiran untuk memastikan ianya tidak terpesona hingga terlupa peranan, tanggungjawab, misi dan wawasan sebagai Kerajaan Membela Rakyat! Kerajaan kita sejak merdeka 50 tahun telah banyak melaksanakan idea-idea progresif yang terbukti berjaya membela rakyat dan membangun negara. Ambil contoh diantaranya TABUNG HAJI! Ada sesiapa pula nak buat cadangan untuk mengambil alih kepentingan Tabung Haji? Ini sure untung punya!

No comments: