Wednesday, December 24, 2008

Rosak Jiwa-Bangsa Binasa!

Madah Melayu ada berkata;

"Hendak tahu baiknya orang,
Tanyakan kepada kawannya,
Hendak tahu buruknya orang,
Tanyakan kepada musuhnya."

Diantara berita terkini yang menggamit perasaan saya ialah kes Mahfuz Omar Vs Utusan Melayu (M) Bhd dan Dato Khalid Mohd.(Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan). Kedua-dua defendan telah diperintahkan membayar kepada Mahfuz Omar RM120,000.00 ganti rugi am atas dakwaan fitnah melalui sebuah artikel yang diterbitkan 7 tahun yang lalu.

Defendan menafikan didalam penyataan pembelaannya bahawa artikel yang didakwa tersebut bersifat fitnah dan sebaliknya menekankan bahawa ianya merupakan satu laporan tepat dari segi kandungan dan fakta. Mahfuz dalam ulasannya melahirkan kesyukuran atas keputusan itu setelah lama menunggu sejak tahun 2001. Peguam bagi defenden pula menyatakan pihaknya akan meneliti alasan penghakiman terlebih dahulu sebelum mencadangkan rayuan dikemukakan.

Juga menarik perhatian ialah, satu lagi dakwaan yang difailkan terhadap Utusan Malaysia. Kali ini oleh Theresa Kok, terhadap Utusan Melayu (M) Bhd dan Dato Seri Khir Toyo atas dakwaan memfitnah beliau berhubung isu larangan azan. Tuntutan Theresa melibatkan ganti rugi berjumlah RM30juta!

Utusan Melayu (M) Bhd, menurut sejarahnya adalah sebuah organisasi media yang ditubuhkan di Singapura pada tahun 1938. Ia menerbit dan melancarkan akhbar pertamanya, Utusan Melayu didalam tulisan Jawi pada 29 Mei 1939. Selepas 5 bulan Negara mencapai kemerdekaan, Utusan Melayu berpindah operasi ke Kuala Lumpur pada Februari 1958. Mulai 1 Sep 1967 ia menerbitkan akhbar Utusan Malaysia versi Rumi yang berkekalan hingga ke hari ini. Akhbar versi Jawi hampir tamat riwayatnya akibat kurang edaran tetapi atas usaha berbagai pihak ianya berjaya diterbitkan semula walaupun hanya sekadar akhbar sisipan kepada Mingguan Malaysia bermula 4 Januari 2003.

Sejarah tidak akan lupa kepada jasa dan peranan akhbar Utusan didalam menyemarakan kesedaran politik, nasionalisma dan kebangkitan sejak era menuntut kemerdekaan hinggalah zaman-zaman seterusnya hingga kehari ini.

Kini, Utusan bukan sahaja sedang dilanda kes-kes saman-menyaman oleh pihak-pihak yang membuat dakwaan seperti diatas. Ia juga sedang menghadapi satu kempen "Boikot" oleh pihak-pihak tertentu, atas alasan-alasan tertentu. Sesetengah orang berkata, ini adalah perkara biasa didalam industri. Namun pada saya dalam banyak perkara yang biasa, tidak semestinya ianya menjadi hanya perkara biasa jika beberapa pertimbangan diambil kira.

Kata-kata Prof.Dr.Hamka amat menarik untuk dijadikan sandaran;

"Pulanglah kapal dari Makkah,
penuh muatan orang haji,
awas-awas adik melangkah,
memetik bunga dalam duri."
dan;
"Jika pandai meniti buih,selamat badan keseberang."

Walaubagaimanapun, hati sedikit terubat apabila melihatkan banyak pihak yang perihatin dan melihat Utusan sebagai satu organ kebangsaan melayu yang harus dibela dan didokong. Saya mengharapkan "Tabung Membela Utusan" yang dilancarkan oleh UMNO Bahagian Cheras baru-baru ini dan di sambut oleh banyak Bahagian UMNO akan terus mendapat sambutan dan sokongan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa, dalam penghakimannya mengatakan bahawa dalam menentukan jumlah ganti rugi, beliau telah mengambil kira anggaran jumlah edaran akhbar Utusan sehari ialah 200,000 nashkah. Jadi jika kita andaikan jumlah 200,000 itu mewakili 200,000 orang pembaca, maka jika setiap seorang menyumbangkan RM1.00 kepada "Tabung Pembelaan Utusan" sebagai tambahan kepada harga akhbar Utusan yang mereka beli setiap hari itu, maka usaha pihak-pihak yang cuba membantu itu bukan sahaja akan berjaya, malahan akan mengumpulkan jumlah jauh berlipat kali ganda, jika sumbangan itu kita teruskan untuk tempoh waktu tertentu.

Orang Melayu pernah menyerahkan emas dibadan semata-mata kerana ingin mengumpul duit tambang perjalanan dan perbelanjaan rombongan Tunku Abd Rahman ketika ingin ke London bagi menuntut kemerdekaan. Utusan Melayu telah menyumbang bakti kepada rakyat dan negara sejak zaman kebangkitan bangsa hingga ke era kemajuan bangsa hari ini. Jika ianya ingin di matikan kewujudannya, mengapa tidak kita ulang kegigihan perjuangan bangsa kita dalam membantu Utusan meneruskan peranan itu?

Bangkitlah semua anak bangsa! Jangan kita jadi terlalu dingin. Manusia dicipta dengan ada perasaan marah. Manusia yang berjiwa akan perlu marah pada waktu yang ia patut marah.Namun ada ketikanya kita tidak boleh marah walaupun perlu marah kerana kita perlu mengambil kira musibah yang akan terlaku atas sebab marah tersebut!

Sementara Theresa Kok menegakkan kesnya diMahkamah dan andainya Utusan dan Dato Khalid, tidak merayu kepada ganti rugi yang dihukumkan didalam kes Mahfuz, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Mahfuz yang berpuas hatilah kerana dapat melunaskan perasaan marah yang meluap kerana di"fitnah" Utusan dan kini tersucilah nama baik beliau sepertimana dikehendakki. Sebagai manusia, sedikit sebanyak kita bergembira jugal diatas "durian runtuh RM120,000.00" yang datang sekali dengan kepuasan dapat melunaskan marah itu.

Sekiranya penghakiman tersebut tidak dirayu, maka tidak salah juga lah sekiranya saya mengandaikan bahawa Mahfuz sudah berjaya menyelesaikan masaalah peribadinya dengan Utusan, iaitu ingin membersihkan nama baik beliau dan bukan bermotifkan wang ringgit. Namun oleh kerana beliau di anugerahkan ganti rugi tersebut pada ketika Utusan sedang digoyang kewujudannya, dan juga sedang berhadapan dengan tuntutan RM30juta oleh Theresa Kok, maka dengan perasaan di jiwa yang ingin turut menyumbang kepada "Tabung Pembelaan Utusan", saya menyarankan Mahfuz memulangkan sebahagian RM tersebut dalam bentuk sumbangan kepada "Tabung Pembelaan Utusan" selepas ditolak kos guaman dan perbelanjaan beliau dalam usaha melunaskan kemarahan terhadap akhbar Utusan Malaysia diatas apa yang terlaku keatas dirinya oleh akhbar tersebut sepertimana dakwaan kes.

Kita berdoa kepada Allah SWT sepertimana dilafazkan didalam surah AlFatihah setiap kali sembahyang yang bermaksud; "...Tunjukkanlah kami jalan yang lurus..."

P/s, kalau dahulu saya culas membeli surat khabar Utusan, tetapi kini membeli akhbar Utusan Malaysia, adalah sesuatu yang saya wajibkan keatas diri saya, setiap hari!

Wassallam,
zainal abidin ahmad

No comments: