Monday, December 29, 2008

JENAKA awal tahun 1430Hijrah

Saya setuju sangat dengan komen Menteri Penerangan kita terhadap PAS. Beliau menyifatkan statement terbaru Tuan Guru Haji Hadi Awang tentang hudud sebagai sebuah lawak jenaka yang melucukan.

Memang Datuk Husam Musa, seorang peneraju kumpulan "erdogan" dalam PAS telah benar-benar mengharu-birukan Hj Hadi kali ini. Menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu ini Husam telah memulangkan "peluru hudud" kembali menghantui Hj.Hadi dan saf kepimpinan Ulama PAS.

Dulu,Hj.Hadi mempengerusikan jawatankuasa pembentukan Kanun Jenayah Syariah (11)Kelantan dan ianya diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan dan di wartakan pada 28 Oktober 1993. Malangnya ianya sampai kehari ini tidak dilaksanakan dan telah disenyapkan sejak sekian lama.

Apabila Hj.Hadi kemudian memperoleh kejayaan di Terengganu dan menjadi MB, hudud ditanyakan kepadanya. Beliau ketika itu mengatakan bahawa hukum hudud memerlukan masa panjang untuk dilaksanakan dan ia merupakan bahagian yang sangat kecil dalam perundangan Islam. Sehubungan itu, Hj Hadi juga berkata "Hudud adalah satu aspek daripada 0.0001 peratus dari hukum jenayah Islam".

Soalannya: apa pula yang memerlukan masa yang lama, bukankah beliau sendiri Pengerusi kepada j/kuasa yang mencipta Enakmen Hudud Kelantan? Jadi takkanlah Terengganu kena ambil masa lama nak cipta hudud Terengganu? Apa hudud Kelantan dan hudud Terengganu lain ke?

Dan pula ianya merupakan aspek yang tersangat kecil dalam hukum jenayah Islam? Jadi selama ini yang dok tuduh UMNO kafir pasal tak laksana hudud tu,adalah umpan untuk menarik sokongan lah? Patutlah pun Hj.Hadi jadi MB Terangganu satu penggal sahaja, kerana dia telah menipu tentang pelaksanaan hudud dan Allah SWT tidak suka orang yang menipu!

Memang benarlah PAS ini sebuah parti assabiyah yang menggunakan agama untuk memecah belahkan kabilah ummat Islam yang sudah bersatu dibawah pimpinan UMNO.

Husam Musa yang cuba nak jadi Hero dalam satu Forum yang dianjurkan untuk memerangkap budak muda UMNO, Khairy Jamaluddin, telah terperangkap kedalam jeratnya sendiri. Seperti biasa budak erdogan PAS telah menyusahkan kepimpinan Ulama yang kini terpaksa memperjelaskan kedudukan Islam dalam PAS.

Huru-hara dalam menangani isu ini, saf kepimpinan PAS memberikan komen dan melakukan "damage control" dengan harapan hudud ini tidak menghantui mereka lagi dan menyusahkan rakan-rakan Pakatan Rakyat.

Ngeh (MB Tak Jadi Perak), Karpal (Panglima Kafir Menentang Hudud), Anwar Ibrahim
(Kecut Punggong dengar bab Hudud), semua perlu ditenangkan. Jadi bermacam-macam komen lah di hamburkan oleh Saf Kepimpinan Ulama untuk menangkis "peluru hudud" yang bertubi-tubi sejak dilepaskan oleh Husam Musa.

Seperti biasa, Hj Hadi menjadi mangsa lagi kepada mulut celuparnya yang sentiasa laju memaki hamun dan menuduh UMNO setiap kali hendak membenarkan PAS! Hantu hudud yang lama dah tak kacau PAS, kini terlepas dan mengaruk lagi. Hj. Hadi kelu lidah dan ketakutan temberangnya terbongkar.

Maka macam orang kata,kalau kita menipu, maka kita akan terus menipu untuk menutup penipuan yang lalu. Hj.Hadi kali ini mengatakan bahawa "hudud tidak boleh dilaksanakan lagi kerana ianya tidak sesuai dalam keadaan ekonomi yang tidak baik dan lagi orang bukan Islam tak ada kena mengena dengan hudud kerana hudud hanya untuk orang Islam!". Betul ke begitu?

Memang benarlah kata Menteri Penerangan kita, PAS sentiasa melucukan dan jawapan mereka kepada hal hudud ini adalah lawak yang paling lucu sekali buat hari ini!

Selamat Tahun Baru 1430H, dan marilah kita berdoa agar kita diberikan taufik dan hidayah oleh Allah SWT untuk terus bersatu padu bersama UMNO,menyokong dan membantu memacu kejayaan,keamanan dan kesejahteraan kepada Negara dan dilindungi daripada kita dipesongkan oleh pengacau-pengacau yang cuba memalingkan kita dari saf perjuangan dan mensia-siakan pengorbanan pejuang terdahulu.

Wednesday, December 24, 2008

Rosak Jiwa-Bangsa Binasa!

Madah Melayu ada berkata;

"Hendak tahu baiknya orang,
Tanyakan kepada kawannya,
Hendak tahu buruknya orang,
Tanyakan kepada musuhnya."

Diantara berita terkini yang menggamit perasaan saya ialah kes Mahfuz Omar Vs Utusan Melayu (M) Bhd dan Dato Khalid Mohd.(Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan). Kedua-dua defendan telah diperintahkan membayar kepada Mahfuz Omar RM120,000.00 ganti rugi am atas dakwaan fitnah melalui sebuah artikel yang diterbitkan 7 tahun yang lalu.

Defendan menafikan didalam penyataan pembelaannya bahawa artikel yang didakwa tersebut bersifat fitnah dan sebaliknya menekankan bahawa ianya merupakan satu laporan tepat dari segi kandungan dan fakta. Mahfuz dalam ulasannya melahirkan kesyukuran atas keputusan itu setelah lama menunggu sejak tahun 2001. Peguam bagi defenden pula menyatakan pihaknya akan meneliti alasan penghakiman terlebih dahulu sebelum mencadangkan rayuan dikemukakan.

Juga menarik perhatian ialah, satu lagi dakwaan yang difailkan terhadap Utusan Malaysia. Kali ini oleh Theresa Kok, terhadap Utusan Melayu (M) Bhd dan Dato Seri Khir Toyo atas dakwaan memfitnah beliau berhubung isu larangan azan. Tuntutan Theresa melibatkan ganti rugi berjumlah RM30juta!

Utusan Melayu (M) Bhd, menurut sejarahnya adalah sebuah organisasi media yang ditubuhkan di Singapura pada tahun 1938. Ia menerbit dan melancarkan akhbar pertamanya, Utusan Melayu didalam tulisan Jawi pada 29 Mei 1939. Selepas 5 bulan Negara mencapai kemerdekaan, Utusan Melayu berpindah operasi ke Kuala Lumpur pada Februari 1958. Mulai 1 Sep 1967 ia menerbitkan akhbar Utusan Malaysia versi Rumi yang berkekalan hingga ke hari ini. Akhbar versi Jawi hampir tamat riwayatnya akibat kurang edaran tetapi atas usaha berbagai pihak ianya berjaya diterbitkan semula walaupun hanya sekadar akhbar sisipan kepada Mingguan Malaysia bermula 4 Januari 2003.

Sejarah tidak akan lupa kepada jasa dan peranan akhbar Utusan didalam menyemarakan kesedaran politik, nasionalisma dan kebangkitan sejak era menuntut kemerdekaan hinggalah zaman-zaman seterusnya hingga kehari ini.

Kini, Utusan bukan sahaja sedang dilanda kes-kes saman-menyaman oleh pihak-pihak yang membuat dakwaan seperti diatas. Ia juga sedang menghadapi satu kempen "Boikot" oleh pihak-pihak tertentu, atas alasan-alasan tertentu. Sesetengah orang berkata, ini adalah perkara biasa didalam industri. Namun pada saya dalam banyak perkara yang biasa, tidak semestinya ianya menjadi hanya perkara biasa jika beberapa pertimbangan diambil kira.

Kata-kata Prof.Dr.Hamka amat menarik untuk dijadikan sandaran;

"Pulanglah kapal dari Makkah,
penuh muatan orang haji,
awas-awas adik melangkah,
memetik bunga dalam duri."
dan;
"Jika pandai meniti buih,selamat badan keseberang."

Walaubagaimanapun, hati sedikit terubat apabila melihatkan banyak pihak yang perihatin dan melihat Utusan sebagai satu organ kebangsaan melayu yang harus dibela dan didokong. Saya mengharapkan "Tabung Membela Utusan" yang dilancarkan oleh UMNO Bahagian Cheras baru-baru ini dan di sambut oleh banyak Bahagian UMNO akan terus mendapat sambutan dan sokongan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa, dalam penghakimannya mengatakan bahawa dalam menentukan jumlah ganti rugi, beliau telah mengambil kira anggaran jumlah edaran akhbar Utusan sehari ialah 200,000 nashkah. Jadi jika kita andaikan jumlah 200,000 itu mewakili 200,000 orang pembaca, maka jika setiap seorang menyumbangkan RM1.00 kepada "Tabung Pembelaan Utusan" sebagai tambahan kepada harga akhbar Utusan yang mereka beli setiap hari itu, maka usaha pihak-pihak yang cuba membantu itu bukan sahaja akan berjaya, malahan akan mengumpulkan jumlah jauh berlipat kali ganda, jika sumbangan itu kita teruskan untuk tempoh waktu tertentu.

Orang Melayu pernah menyerahkan emas dibadan semata-mata kerana ingin mengumpul duit tambang perjalanan dan perbelanjaan rombongan Tunku Abd Rahman ketika ingin ke London bagi menuntut kemerdekaan. Utusan Melayu telah menyumbang bakti kepada rakyat dan negara sejak zaman kebangkitan bangsa hingga ke era kemajuan bangsa hari ini. Jika ianya ingin di matikan kewujudannya, mengapa tidak kita ulang kegigihan perjuangan bangsa kita dalam membantu Utusan meneruskan peranan itu?

Bangkitlah semua anak bangsa! Jangan kita jadi terlalu dingin. Manusia dicipta dengan ada perasaan marah. Manusia yang berjiwa akan perlu marah pada waktu yang ia patut marah.Namun ada ketikanya kita tidak boleh marah walaupun perlu marah kerana kita perlu mengambil kira musibah yang akan terlaku atas sebab marah tersebut!

Sementara Theresa Kok menegakkan kesnya diMahkamah dan andainya Utusan dan Dato Khalid, tidak merayu kepada ganti rugi yang dihukumkan didalam kes Mahfuz, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Mahfuz yang berpuas hatilah kerana dapat melunaskan perasaan marah yang meluap kerana di"fitnah" Utusan dan kini tersucilah nama baik beliau sepertimana dikehendakki. Sebagai manusia, sedikit sebanyak kita bergembira jugal diatas "durian runtuh RM120,000.00" yang datang sekali dengan kepuasan dapat melunaskan marah itu.

Sekiranya penghakiman tersebut tidak dirayu, maka tidak salah juga lah sekiranya saya mengandaikan bahawa Mahfuz sudah berjaya menyelesaikan masaalah peribadinya dengan Utusan, iaitu ingin membersihkan nama baik beliau dan bukan bermotifkan wang ringgit. Namun oleh kerana beliau di anugerahkan ganti rugi tersebut pada ketika Utusan sedang digoyang kewujudannya, dan juga sedang berhadapan dengan tuntutan RM30juta oleh Theresa Kok, maka dengan perasaan di jiwa yang ingin turut menyumbang kepada "Tabung Pembelaan Utusan", saya menyarankan Mahfuz memulangkan sebahagian RM tersebut dalam bentuk sumbangan kepada "Tabung Pembelaan Utusan" selepas ditolak kos guaman dan perbelanjaan beliau dalam usaha melunaskan kemarahan terhadap akhbar Utusan Malaysia diatas apa yang terlaku keatas dirinya oleh akhbar tersebut sepertimana dakwaan kes.

Kita berdoa kepada Allah SWT sepertimana dilafazkan didalam surah AlFatihah setiap kali sembahyang yang bermaksud; "...Tunjukkanlah kami jalan yang lurus..."

P/s, kalau dahulu saya culas membeli surat khabar Utusan, tetapi kini membeli akhbar Utusan Malaysia, adalah sesuatu yang saya wajibkan keatas diri saya, setiap hari!

Wassallam,
zainal abidin ahmad

Sunday, December 21, 2008

Buli Balik

Nampak ada tanda-tanda meyakinkan bahawa harimau dah mula bangun dan ngaumannya agak menggetarkan.

Hari ini KJ cabar Husam dalam satu forum anjuran Urusetia Kerajaan Kelantan tentang bab Hudud dan Kisas. Tanpa berfikir panjang, Husam segera mengatakan ianya TETAP akan dilaksanakan sekiranya PAS memerintah. Kita ucap terima kaseh pada KJ kerana mengingatkan PAS tentang perkara ini.

Benar tak benar janji Husam itu, kita tolak tepi lah sebab dah sejak dulu lagi Hudud dan Qisas ni menjadi bahan yang dijaja oleh PAS setiap kali berhadapan dengan UMNO. Namun sampa la tak nampak pun tanda-tanda dia jujur dalam menjalankan perkara itu.

Kita jangan lupa satu masa dulu Dewan Negeri Kelantan pernah meluluskan Enakmen Hudud Kelantan, yang sampai hari ini tidak dilaksanakan atau cuba dilaksanakan. Memang lah PAS akan mengatakan bahawa ianya tidak terlaksana kerana dibantah oleh Kerajaan Persekutuan Tun Dr.M ketika itu. Namun jangan kita termakan dakyah tersebut, kerana hakikat sebenar kenapa ianya tidak dilaksanakan di Kelantan walaupun ianya telah diluluskan oleh Dewan Negeri, ialah kerana Tun Dr.M telah membongkar banyak kesilapan didalam penyusunan enakmen Hudud tersebut maka ianya mengikut Tun adalah menyalahi Hudud sebenar mengikut ajaran Islam sepertimana diperturunkan oleh Allah SWT. Mengikut kajian Kerajaan Persekutuan pada waktu itu, Enakmen yang dikarang oleh PAS itu adalah Hudud ciptaan PAS, bukan Hudud menurut Islam yang sebenar.

Ialah,logiknya kalau Hudud itu wajib diperjuangkan juga oleh KJ seperti yang di dakwa oleh Husam, maka sememangnya UMNO berpegang kepada perjuangan Islam sebenar, bukan Islam mengikut versi PAS. Mana Husam tahu perkara ini kerana dia adalah seorang yang jumud akal dan jumud perjuangan akibat taksub dengan PAS dan PAS pula taksub nak jatuhkan UMNO.

Apa pun sekali lagi kita ucap syabas kepada KJ kerana teringat untuk tanya Husam bab ini dan secara langsung mengingatkan PAS terhadap perjuangannya semula. Episod ini diharapkan memberikan PAS peluang bermuhasabah dan merenung kembali kelekaannya sejak bersekongkol dengan PKR yang menjaja "Harapan Baru" dan DAP yang membawa "Malaysian Malaysia". Kini PAS semakin tertekan untuk menukar pegangannya dan semakin terdesak berusaha untuk mengekalkan persefahaman 3 sekawan demi kelangsungan kuasa ketiga-tiganya. Mereka semua sedar bahawa jika pengorbanan itu tidak dibuat, mereka semua akan kempunan dan untuk itu kita akan lihat "aura" siapa diantara mereka bertiga akan menguasai pakatan tersebut. Setakat hari ini tiada siapa dapat menafikan bahawa DAP yang sedang menguasai dan mendapat pulangan paling banyak dari pakatan itu. PKR setakat jadi tukang heboh, sementara PAS di ulit perasaan dan tak tahu bila nak sedar dari kesesatan itu.

Kita juga puji Mukhriz telah menyarankan Sekolah Satu Aliran bagi memperbaiki isu hubungan kaum yang dikatakan sedang merekah. Sebelum ini bukan main lagi mereka mengata kepada UMNO sebagai parti yang membawa perpecahan kaum melalui dasar-dasar affirmative dan sebagainya. Apabila dicadangkan oleh Mukhriz sekolah satu aliran sebagai usaha menyatukan kaum, mereka pun bingkas mempertahankan dasar yang telah diamalkan sejak merdeka sekarang, sebagai bagus dah, tak perlu diubah.

Nazri juga buat pertama kalinya saya nak puji atas kejayaan mengemudi perbahasan dalam membentangkan usul kerajaan bagi penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Kehakiman yang jelas menidakkan dakwaan DSAI selama ini yang beliau sudah mempunyai ramai "pembelot" dari kalangan MP kerajaan dan boleh menurunkan BN di Parlimen pada bila-bila masa sahaja. Kalau benar, kenapa tak lakukan ketika pembentangan kedua-dua Rang Undang-Undang tersebut. Jadi memanglah terbukti beliau ialah Ketua Pembangkang yang temberang dan telah menipu orang ramai dengan dakwaan palsunya itu.

Seterusnya, kita tunggu pula pembentangan Akta DNA pada sidang akan datang. Ini lagi akan mengecutkan telor orang tertentu yang berkaitan.

Apa pun, UMNO tak perlu buli balik, cukup dengan hanya bangkit membawa kebenaran kerana yang benar akan tetap benar. Semuga di berkati usaha kita dan pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu.

Saturday, December 20, 2008

Sakit Jantung

Elok tak sakit, tiba-tiba tak kurang ramai juga yang terasa macam nak sakit jantung dalam diam menahan rasa. Apa tidaknya diam tak diam IJN yang tak ada masaalah apa-apa pun tiba-tiba diserang puak kapitalis yang terasa seronok dengan peluang keuntungan yang ada pada nya. Maaf saya mengatakan demikian.

Baru sahaja beberapa hari yang lepas saya lalu di Jalan Tun Razak dan terperasan akan pembinaan blok baru yang sedang dalam pembinaan dan merasa megah melihat IJN sedang membesarkan fasilitinya.

Saya bersetuju dengan pandangan yang dibuat banyak pihak termasuk hari ini ulasan oleh PEKASA yang disiarkan oleh Utusan Malaysia. Majoritinya menegaskan tidak bersetuju dengan cadangan pihak swasta yang bercadang untuk membeli kepentingan kerajaan didalam IJN Holdings Sdn Bhd. Malah Yg Amat Berbahgia Tun Dr.M yang satu waktu dahulu adalah peneraju idea penswastaan melalui konsep Malaysia Inc. juga ternyata tidak bersetuju dengan cadangan yang ini.

Saya setuju dengan beliau. Pada kefahaman saya ketika waktu itu projek penswastaan merupakan satu kaedah untuk membantu kerajaan merealisasikan kepentingan Negara untuk memberi faedah kemajuan kepada umum. Melalui kaedah tersebut maka banyak keperluan infrastruktur dan prasarana atau pun perkhidmatan yang boleh membantu kemajuan disamping membuka peluang kemajuan, dapat dilaksanakan tanpa membebankan perbelanjaan kerajaan ataupun dapat disegerakan dengan keberkesanan modal dan tenaga swasta.

Cadangan penswastaan IJN pula nampak sangat bermotifkan kepentingan swasta lebih utama dari kepentingan Negara dan Rakyat.Bukannya IJN sedang menghadapi kegawatan modal, mahupun kegawatan tenaga pakar ataupun kegawatan perkhidmatan sehingga perlu ianya diselamatkan melalui suntikan modal swasta atau tenaga pakar swasta. IJN biar lah terus dibawah urusan kerajaan sepertimana ianya telah berjaya selama ini. Kalau ia benarlah pihak swasta ingin juga menawarkan khidmat untuk Negara dan Rakyat seperti telah dibuat oleh kerajaan melalui IJN, sepertimana disarankan oleh rata-rata orang ramai, sudi-sudilah pihak swasta membina sebuah lagi Hospital Pakar Jantung serupa dan bersainglah dengan IJN dengan menawarkan harga yang lebih murah dari IJN atau kalau tak mampu bersaing harga, tawar lah perkhidmatan yang lebih baik dari IJN. Saya yakin sumber swasta boleh melakukannya dan rakyat ramai akan dapat menikmati usaha murni tersebut.

Sepatutnya cadangan ini tidak berbangkit dan dalam pada swasta berhak mencari peluang, janganlah sampai nanti dikatakan "tamak" atau lebih buruk lagi dituduh "penyamun". Saya rasa tidak wajar juga kita nak salahkan swasta semata-mata, kerana memang lah dalam tabiat orang berniaga sentiasa mengintai peluang. Jadi pihak Kerajaan perlu lah peka dan stabil pemikiran untuk memastikan ianya tidak terpesona hingga terlupa peranan, tanggungjawab, misi dan wawasan sebagai Kerajaan Membela Rakyat! Kerajaan kita sejak merdeka 50 tahun telah banyak melaksanakan idea-idea progresif yang terbukti berjaya membela rakyat dan membangun negara. Ambil contoh diantaranya TABUNG HAJI! Ada sesiapa pula nak buat cadangan untuk mengambil alih kepentingan Tabung Haji? Ini sure untung punya!

Wednesday, December 3, 2008

Memperkasa UMNO

Sudah sekian lama saya tidak menulis disini. Selain dari sebab sibuk dengan urusan, saya juga jemu dengan terlalu banyaknya isu dan polemik yang berpanjangan sejak PRU 12. Semuanya hanya berkisar dan berpaksi kepada satu matlamat, iaitu cubaan merampas kuasa kerana dendam tak sudah seorang manusia berhati setan!

Malangnya usaha ini yang saya namakan "projek ganyang UMNO" yang bermula sebaik sahaja selesai PRU 12 apabila si polan telah secara tidak sengaja telah mendapat "inroad" yang dia sendiri tidak menduga akan jadi sebegitu baik kepada puaknya. Dari situ ianya berkembang luas dan dimeriahkan oleh puak-puak yang bersifat suka "menangguk diair keruh" dan ditemani pula oleh puak-puak yang sememangnya "mengantuk disorongkan bantal". UMNO pula bagaikan "Lebai Malang" di tikam juga oleh sahabat-sahabatnya sendiri didalam Barisan Nasional dan ahli-ahlinya yang dirasuk kepentingan peribadi.

Maka pada hari ini, saya bergembira apabila satu tindakan yang wajar telah dilakukan oleh pihak MT didalam menangani kelakuan Zaid Ibrahim. Pada saya tiada hukuman yang paling tepat didalam situasi sekarang selain memberikan beliau "ubat" yang memang diidamkannya demi kelangsungan riwayat politik peribadinya! Biar apapun yang beliau nak kata atau walau apa pun komen yang akan diberikan oleh penganalisa politik, pada saya beliau memang wajib di "pecat". Nah sekarang telan lah "ubat-ubatan" yang dihajatkan itu dan hidup lah kamu sepertimana kamu kehendakki, asalkan jangan kamu menjadi kuman yang mendiami didalam UMNO dan menyusahkannya. Dalam masa yang sama tindakan MT dalam hal ini akan juga dilihat sebagai satu amaran tegas kepada bakal-bakal pengkhianat atau jika enggan mengaku diri sebagai pengkhianat, kita namakan mereka sebagai "orang perasan bagus" didalam UMNO. Ianya juga satu petanda baik jika tindakan yang sama dijalankan kepada rakan-rakan UMNO didalam BN yang berkelaku bagai "kuman membawa barah".

Salam bahagia!