Wednesday, July 16, 2008

Formula Minyak Dhab

Baru sebentar tadi dapat berita Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan polis dihadapan pintu mahligai beliau di Segambut. Berita ini tidak memeranjatkan kerana semalam kita telah maklum bahawa "warrant of arrest" telah pun dikeluarkan dan beliau diberi tempoh sehingga jam 2petang hari ini untuk hadhir ke Ibu Pejabat Polis untuk membantu didalam penyiasatan kes laporan liwat yang dibuat terhadap dirinya. Pagi tadi juga beliau telah ada temu janji dengan BPR untuk diambil keterangan berhubung laporan kes terhadap IGP dan AG yang dibuat oleh beliau. Kita tak pasti jika temujanji itu telah ditepati atau tidak? Mungkin beliau baru selesai di BPR dan ingin balik rumah untuk salin baju dahulu atau makan tengah hari sebelum ke Pejabat Polis tetapi malangnya tempoh waktu yang diberi oleh Polis dah tamat dan beliau ditahan kerana tidak hadir dalam tempoh waktu yang diberi, atau memang beliau tidak berniat ke Pejabat Polis? Hanya beliau yang boleh jawab. Kita ikutilah seterusnya babak tersebut kemudian nanti.

Apa yang saya ingin ulas pada tulisan ini sebenarnya ialah DEBAT malam tadi diantara beliau dengan YB Datuk Shabbery Cheek bertajuk "TUBUH KERAJAAN HARI INI, ESOK TURUN HARGA MINYAK". Saya yakin rata-rata ramai rakyat Malaysia ternanti-nanti FORMULA yang akan di bentangkan oleh DSAI tentang cara mana beliau akan melaksanakan penurunan harga minyak tersebut, yang agaknya tidak terfikir oleh Kerajaan BN pada masa ini. Wah sangat hebat lah DSAI nantinya apabila kita dapat mendengar Formula Hebat beliau dengan hujah-hujah yang sesungguhnya hebat se hebatnya "anak istimewa" ini, meminjam ungkapan Dato Syed Hamid, Menteri Dalam Negeri Malaysia.

Namun saya hanya dapat mengangkat topi kepada Datuk Shabbery Cheek. Pertamanya diatas kebijaksanaan beliau menyambut cabaran debat itu. Ikhlas rasanya ramai yang ternanti-nanti "performance" pemimpin kerdil ini menghadapi kehebatan DSAI yang terkenal seantaro dunia dengan caranya yang tersendiri. Keduanya hujah-hujah Datuk Shabbery tidak berjaya diperkecilkan oleh DSAI. Sebaliknya DSAI tidak berjaya membawa sebarang FAKTA yang baru atau lebih tepat lagi tidak mengemukakan FORMULA Ajaib yang kita semua nanti-nantikan. Jelas tiada formula untuk menurunkan harga minyak, cuma cadangan tentang bagaimana beliau hendak mengurangkan penarikan subsidi secara mendadak yang telah dilakukan oleh Kerajaan. Itu Sahaja. Pendeknya harga minyak tetap tidak boleh di kawal, cuma DSAI cadangkan penarikan subsidi dibuat secara ansur-ansur. Caranya mengikut kata beliau ialah ambil wang keuntungan "berlebihan" dari IPP dan gunakan untuk bagi subsidi kepada rakyat dengan mengurangkan nilai subsidi yang telah ditarik balik oleh Kerajaan. Juga wang untuk menampung subsidi ini boleh lagi didapati dengan cara meningkatkan kecekapan perbelanjaan dengan mengawal ketirisan dalam bentuk Korupsi, Kroni dan sebagainya. Itulah yang dikatakan oleh DSAI. Jadi duit-duit yang kononnya akan di dapati daripada situ ditambah duit dari IPP yang boleh didapati dengan kajian semula kontrak, boleh digunakan untuk tampung subsidi!

Lebih kurang umpamanya kita "trim" lebihan dibukit dan gunakan untuk kambus gaung yang mendalam. Gaung mungkin akan terus mendalam dan kambusan juga akan terus mendak sementara faedah dari bukit tidak memberikan kesan. Sebaliknya kita hadapi sepertimana sekarang, iaitu kita terima hakikat yang gaung sedang mendalam, tak payah membuang hasil dengan cuba melawan tetapi menetapkan tampungan setakat yang termampu dan selebihnya biarkan dan kita jaga bahaya yang menjelang. Hasil dari bukit dan lain-lain keuntungan kita guna untuk teruskan kehidupan dan mengalas kesusahan ditempat yang lain. Cara ini, kesusahan yang di sebabkan oleh gaung tadi ditampung dalam segi keuntungan ditempat yang lain. Saya yakin pakar-pakar didalam kerajaan dan ramai lagi diluar sana sudah memikirkan bentuk langkah sama atau lebih kurang sama dengan apa yang cuba diketengahkan oleh DSAI tetapi mereka telah mengambil langkah seperti yang ada sekarang. Itu lah yang terbaik untuk kepentingan semua pihak. Memanglah kesusahan itu kini sedikit dirasa tetapi mungkin lah ini yang dikatakan "berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing". Bertepatan dengan moto Negara Malaysia "Bersekutu Bertambah Mutu". Semua pihak dari rakyat hingga kerajaan sama-sama berkorban menghadapi ancaman kenaikkan harga minyak global, dengan kerajaan mengambil langkah-langkah mengurangkan beban rakyat, mengkaji semula perbelanjaan (telah dilakukan dengan Kajian semula perlaksanaan RMK9 yang dibentang baru-baru ini) menjimatkan perbelanjaan kerajaan, memerangi rasuah, ketirisan dan sebagainya. Dalam masa yang sama semua orang diajak hidup dialam kenyataan dan tidak di bantu mengaburi hakikat dengan kehidupan dibantu dengan kesenangan yang palsu. Rakyat diajar untuk menerima hakikat dan hikmah disebalik nya akan dapat kita rasai didalam jangka masa panjang. Tiada makna kita menipu diri dengan menafikan kenyataan dan akhirnya dikemudian hari kita tiada lagi daya untuk menampung sementara semua reserve sudah juga kehabisan.

Terserlahlah pada saya sekurang-kurangnya bahawa DSAI tiada FORMULA yang meyakinkan didalam menghadapi kemelut harga minyak sekarang dan ternyata juga langkah dan keperihatinan Kerajaan tidak boleh di pandang kecil. Memang hebat bunyinya slogan yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat itu, tetapi sebenarnya ia cuma slogan untuk menarik perhatian sedangkan isinya kosong atau jika dilakukan juga, ia hanya lah langkah sementara untuk mendapat sokongan. Macam MINYAK DHAB, setiap kali nak "perform" sapu minyak dhab bagi "power" mengikut kata penjual ubat tapi lama-lama minyak dhab pun tiada sebab penjual ubat dah lari dan dhab pun pupus. Wassallam.