Sunday, November 22, 2009

Jangan Khianat

Terdahulu saya cuba menarik perhatian kepada hakikat betapa sebenarnya antara PAS dan UMNO itu lebih banyak persamaan daripada perbedaan. Namun jelas dari komen-komen puak tertentu, mereka tidak mahu kisah tentang itu, sebaliknya taksub untuk membicarakan perkara-perkara ranting untuk dijadikan jurang pemisah dan alasan untuk jauh memisah. Begitu taksubnya puak ini kepada memisahkan daripada menyatukan. Walaubagaimanapun, saya tetap yakin bahawa mereka itu hanya segelintir orang jahil yang sesat dalam perjuangan.

Saya yakin permusuhan yang disemarakkan atas alasan PAS atau UMNO adalah satu kerja sia-sia yang tidak akan diredhai oleh Allah SWT. Apabila kita melakukan kerja yang sia-sia, bersedia sahajalah menerima hukuman Allah SWT. Menyedari ini, maka mereka cuba menghalalkan kerja sia-sia itu dengan dakyah yang menjurus kepada mengelirukan orang bahawa "PAS itu Islam dan Islam itu PAS". Mereka sentiasa berdolak-dalik dalam hal ini dan umpama orang jahat, mereka ini tidak jujur dalam perkataan dan perbuatan. Hakikatnya mereka hanyalah berpolitik dan dalam ghairah berpolitik itu, mereka sanggup mencemar Islam.

Lihat sahaja hujah-hujah puak ini yang setiap kali mereka mati akal, mereka akan membuat berbagai tohmahan dan memberikan berbagai tafsiran yang negatif terhadap perkara-perkara yang bukan pokok, malahan lebih banyak kenyataan bohong dan fitnah bagi mengelirukan orang daripada perkara sebenar.Propagandanya ialah supaya orang kata "PAS itu Islam dan UMNO tidak Islam".

Saya sudah jatuh kesian kepada mereka ini kerana tertipu sedemikian rupa hinggakan apa sahaja yang dijaja oleh ahli-ahli politik yang memimpin mereka, mereka beli borong, tanpa langsung mahu meneliti apa lagi menilainya seolah-olah pemimpin mereka itu Nabi dan Alim yang suci lagi ma'sum. Dizaman Nabi SAW dahulu, ada dikalangan pengikut dan sahabat yang dijamin Allah SWT sebagai ahlul syurga. Apakah puak-puak pengikut taksub pemimpin PAS ini mengharapkan jaminan yang sama? Apakah mereka semuanya sudah dijamin asalkan membayar yuran sebagai ahli PAS, maka Syurga untuk mereka menanti, bermakna ahli UMNO akan ke Neraka? Siapakah yang memberikan jaminan itu? Pemimpin mereka? MasyaAllah, sedangkan batang tubuh pemimpin mereka itu sendiri pun belum ketentuan disisi Allah SWT. Pemimpin-pemimpin mereka itu berlumba-lumba mendapatkan label dan "title" Al Ustaz, Ulama', Al Sheikh, Tok Guru dan berbagai lagi. Siapakah yang memberikan title itu? Untuk apa? Kesian, kesian.

Ditipu oleh ahli-ahli politik (bukan Ahli Syurga), maka teruslah puak-puak ini melebarkan jurang pemisah dan menyemarakkan permusuhan hingga membawa umat ke jalan kehancuran. Kemanakah lagi jalan itu menuju sekiranya umat asyik bermusuhan dan bercerai-berai, jika tidak kejalan kehancuran? Bukankah Nabi SAW berpesan pada khutbah terakhirnya bahawa umat Islam itu bersaudara semuanya. Begitu pentingnya persaudaraan antara umat kerana ia adalah ramuan kepada perpaduan. Islam menekankan tentang peri-pentingnya persaudaraan dan perpaduan. Tidakkah kita akan terkeluar dari Sunnah Nabi apabila kita tidak memandang penting perkara ini?

Pada saya, jika kita sering diingatkan bahawa Sembahyang itu Tiang Agama, maka kita juga perlu faham bahawa Perpaduan itu adalah Sendi yang mengukuhkan Tiang. Bayangkan jika tiang-tiang itu sendinya longgar atau tiada? Tentulah dia runtuh. Begitulah kita dalam Islam. Maka itu sebablah Nabi SAW telah memberi pesan betapa umat Islam semuanya bersaudara dan betapa Perpaduan itu penting.

Bermusuhan lah dan berperang lah hingga berbunuh-bunuhan antara sesama kita, dan kemudian berdoalah agar kita dikurniakan Allah SWT akan nikmat keberkatan dan ditempatkan di SyurgaNya sebagai balasan kerja-kerja kita dimuka bumi ini.Mengapakah kita mahu menipu diri sendiri?

Jadi kepada segelintir puak-puak ini yang setiap kali mati akal akan menjual isu "UMNO tak laksana Hudud",hentikan fitnah yang merbahaya ini. Bukankah hak melaksana Hudud itu adalah hak pemerintah? Dan bagi pemerintah itu, sebelum dia melaksanakan Hudud, dia perlu terlebih dahulu melaksanakan Huquq?

Disebalik semua itu, apakah kita terlalu jahil untuk memahami bahawa Islam itu adalah agama yang damai dan Islam itu adalah agama dakwah? Islam ialah agama yang mendidik dan lebih mengutamakan pencegahan daripada menghukum. Apakah kita amal Islam jika kita sampai merobohkan persaudaraan dan perpaduan, bercerai-berai semata-mata atas alasan melaksana hukum, sedangkan banyak lagi perkara yang perlu kita lakukan. Kita asyik hendak buat kerja tuhan sedangkan kerja kita sendiri belum sempurna.

Bersatu lah umat Islam. Bersetia lah kepada Ulul Amri, Berkhidmat lah kepada Nusa. Hanya kerana Allah SWT. Sesungguhnya janganlah kita jadikan Agama Islam sebagai alasan untuk brcerai-berai sedangkan Islam menyuruh kita bersatu. Dalam kita ghairah hendak melaksana hukum Allah, kita perlu ingatkan diri kita bahawa sesungguhnya kita hanya HambaNya yang kerdil sedangkan Dialah Yang Maha Mengadili, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Menghukum dan Dia jualah Yang Maha Mengampun. Siapalah antum sekelian yang beria-ia sangat hingga hendak menuduh dan mengkhianati Ulul Amri yang memegang amanah pemerintahan itu!